KUALA SELANGOR, 30 JULAI: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM500,000 bagi memajukan industri dron menerusi pembangunan Droneport-1000 termasuk kerjasama strategik dengan pihak swasta.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah berkata dana yang disediakan tahun depan itu dijangka mampu mengupayakan Droneport-1000 sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi industri dron di Selangor.
Menurut beliau, peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan sedia ada selain membangunkan pelbagai program bersama pemain industri.
“Kita bersetuju untuk memberikan peruntukan RM500,000 pada tahun depan untuk naik taraf Droneport-1000 dan bangunkan program bersama pihak swasta.
“Mungkin kita akan menyediakan tawaran geran padanan dan seumpamanya untuk menarik pihak swasta untuk datang dan berkampung di sini dan menguji teknologi dron mereka,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Droneport-1000 di UNISEL yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (SELATI), Zannifa Azura Ahmad.
Dalam pada itu, Dr Fahmi berkata, pembangunan industri dron akan diteruskan di bawah Rancangan Selangor (RS-2) termasuk meneroka peluang memajukan ekosistem dron air serta bawah tanah.
“Pembangunan Pusat Kecemerlangan Dron Selangor (SDCoE) ini merupakan dasar daripada RS-1 dan tidak mustahil kita akan teruskan di RS-2 sebagai satu pencetus ekonomi yang akan mengupayakan ekosistem pembangunan dron,” katanya.
Kerajaan Negeri menubuhkan SDCoE di kampus Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya, dibawah RS-1 untuk menjadikan Selangor sebagai hab utama industri dron di rantau Asean.
Inisiatif strategik itu bertujuan memacu ekonomi aeroangkasa melalui penyediaan ekosistem teknologi moden.









