Pendedahan AI di sekolah penting, persiap generasi muda hadapi masa depan

12 Nov 2026, 8:09 AM
Pendedahan AI di sekolah penting, persiap generasi muda hadapi masa depan
Pendedahan AI di sekolah penting, persiap generasi muda hadapi masa depan

SHAH ALAM, 12 NOV: Pendedahan kepada kecerdasan buatan (AI) sejak peringkat sekolah penting bagi memastikan generasi muda mampu mengikuti perkembangan teknologi, selain melengkapkan mereka dengan kemahiran digital untuk menghadapi cabaran masa depan.

Tinjauan Media Selangor mendapati ibu bapa menyambut baik cadangan memperkenalkan pembelajaran AI dalam kurikulum persekolahan, namun berpandangan kaedah pengajaran perlu disesuaikan dengan tahap umur dan keupayaan murid.

Pakar teknologi maklumat (IT), Aman Che Sof berkata, pengenalan pembelajaran AI merupakan langkah baik memandangkan teknologi itu semakin meluas digunakan dan bakal memainkan peranan penting dalam kehidupan pada masa hadapan.

Menurutnya, Malaysia perlu mula memberikan pendedahan kepada murid walaupun usaha itu dilihat agak lewat berbanding negara maju seperti China yang sudah bergerak lebih jauh dalam penggunaan teknologi berkenaan.

Aman Che Sof

“Saya rasa satu pendekatan yang sangat bagus kerana dunia sekarang menuju ke arah AI dan anak-anak perlu didedahkan kepada AI dari awal lagi. Sebagai contoh, negara maju seperti China telah maju ke hadapan.

“Anak-anak pun sudah menggunakan AI dan saya sendiri melanggan perkhidmatan itu untuk kegunaan mereka. Jadi, saya menyokong 100 peratus pendedahan AI pada peringkat awal kerana murid sekolah rendah masih belum begitu memahami teknologi ini,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada empat anak, Maisyurah Husin berpandangan pembelajaran AI membantu murid mendapatkan maklumat dan menjana idea dengan lebih mudah, selaras dengan kecenderungan kanak-kanak masa kini yang semakin mahir menggunakan teknologi.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pembelajaran itu lebih sesuai diperkenalkan kepada murid Tahap Dua berbanding Tahun Satu, selain menekankan kepentingan membimbing mereka menggunakan teknologi berkenaan secara betul dan bertanggungjawab.

Maisyurah Husin

“Jika sudah diajar (AI) di sekolah, rasanya lebih bagus tetapi perlu menggunakannya dengan cara yang betul dan jangan disalah guna. Pengalaman saya, saya lihat anak saya menggunakan AI untuk mendapatkan idea bagi projek sekolah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar murid tidak terlalu bergantung kepada AI sehingga mengabaikan amalan membaca, yang menurutnya semakin kurang diamalkan dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Nik Ismail berpendapat pendedahan asas AI dan teknologi maklumat penting bagi memastikan generasi muda tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi, sebaliknya mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Nik Ismail

“Bagi saya sebagai ibu bapa, saya rasa sekarang kita berada dalam dunia teknologi, dunia multimedia. Jadi perlu untuk anak-anak daripada masa sekolah ini belajar tentang asas multimedia ini,” katanya.

Beliau turut melihat Selangor berpotensi menjadi contoh kepada negeri lain dalam memperkenalkan pembelajaran AI, memandangkan teknologi itu boleh dimanfaatkan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Untuk rekod, murid sekolah rendah akan mula mempelajari asas AI menerusi mata pelajaran teknologi digital dalam kurikulum persekolahan baharu mulai 2027, manakala pembelajaran teknologi itu turut diperkukuh menerusi mata pelajaran berkaitan di peringkat sekolah menengah.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pengenalan asas AI bertujuan melatih murid menyemak fakta, menilai jawapan yang meragukan serta menggunakan teknologi secara kritis, selamat dan beretika.

Setakat tahun ini, seramai 329,414 guru telah menerima latihan literasi AI sebagai persediaan memperluas penggunaan teknologi itu di sekolah. Latihan berkenaan akan diteruskan secara berperingkat bagi meningkatkan penguasaan kemahiran AI dalam kalangan pendidik.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.