SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan akan memperkenalkan kurikulum baharu bagi murid tahun satu dan tingkatan satu mulai 2027 dengan penekanan terhadap kemahiran digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara selamat dan beretika.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata pendekatan itu bertujuan melahirkan murid yang mampu berfikir secara kritis, menilai maklumat dan menggunakan teknologi secara bertanggungjawab, lapor Berita Harian.
“Kita mahu anak-anak bukan sekadar bergantung kepada AI untuk mendapatkan jawapan, sebaliknya belajar mengemukakan soalan yang lebih baik.
“Kurikulum baharu Tingkatan Satu memberi penekanan khusus kepada penggunaan pelbagai aplikasi dan platform digital secara selamat, selain memperkukuh kemahiran murid,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Portal Sekolahku oleh Kementerian Digital kepada Kementerian Pendidikan di Sekolah Kebangsaan Damansara Utama, hari ini.
Turut hadir Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi membantu penambahbaikan dan pembangunan sekolah supaya persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Beliau turut menggalakkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memohon bantuan penyelenggaraan menerusi saluran rasmi yang disediakan.







