KUALA LUMPUR, 10 NOV: Ibu bapa perlu memupuk nilai hormat dan empati dalam diri anak sejak kecil sebagai sebahagian daripada usaha mencegah buli, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata sekolah memikul tanggungjawab besar dalam mendidik dan melindungi murid, manakala ibu bapa juga perlu mengambil berat tentang cara anak mereka melayan orang lain.
“Sebagai ibu bapa, kita tentu risau kalau anak pulang dari sekolah dalam keadaan menangis kerana dibuli. Kita mahu anak dilindungi dan dipastikan selamat.
“Namun, pernahkah kita terfikir bagaimana kalau anak kita sendiri yang membuat anak orang lain menangis?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata peranan ibu bapa dalam mendidik anak menjadi antara perkara yang dibincangkan ketika beliau bertemu pempengaruh media sosial Muhammad Noor Zakaria, lebih dikenali sebagai Madnor, petang tadi.
Beliau berkata Muhammad Noor menawarkan diri untuk membantu Kementerian Pendidikan (KPM) menyampaikan mesej keibubapaan kepada masyarakat dan menyifatkan tawaran itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya kepada komuniti yang menyokongnya.
“Saya sangat menghargai kesediaan ini. Pengaruh yang dimiliki seseorang boleh menjadi kekuatan besar apabila digunakan untuk membawa kebaikan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata KPM sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak yang mahu menyumbang kepada usaha mendidik dan melindungi kanak-kanak.







