SHAH ALAM, 5 NOV: Seorang pelajar lelaki sekolah menengah yang dikaitkan dengan video tular berada dalam keadaan khayal di dalam kelas didapati positif tiga jenis dadah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata pelajar tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut selepas pihaknya menjalankan siasatan susulan penularan video itu di media sosial Threads.
Jelasnya, siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku sekolah menengah di Nilai pada 28 Oktober lalu.
"Polis Negeri Sembilan mengambil maklum berhubung penularan rakaman satu video di media sosial Threads sejak semalam yang memaparkan seorang pelajar sekolah disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape.
"Susulan penularan video berkenaan, pihak polis sudah menjalankan siasatan dan mengenal pasti pelajar yang terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alzafny berkata ujian saringan awal air kencing mendapati pelajar berkenaan positif bagi dadah jenis ketamin, benzodiazepin (benzo) dan THC.
“Bagaimanapun, keputusan itu masih tertakluk kepada pengesahan lanjut. Satu laporan polis turut dibuat berhubung kejadian berkenaan.
"Pelajar berkenaan akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.
Beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah.







