SHAH ALAM, 3 NOV: Semua sekolah di Selangor akan beroperasi seperti biasa mulai esok susulan perkembangan keadaan jerebu di negeri ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah perlu terus diberi keutamaan sepanjang tempoh berkenaan.
“Semua sekolah di negeri Selangor akan beroperasi seperti biasa mulai 4 November 2026 (Rabu).
“Semua pihak diminta agar terus memberikan keutamaan kepada aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah susulan keadaan jerebu,” menurut kenyataan hari ini.
JPN Selangor turut menggalakkan murid memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya mereka yang sensitif terhadap keadaan jerebu.
Menurutnya, ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
JPN Selangor turut menasihatkan pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau perkembangan kualiti udara serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi JPN Selangor dan pihak sekolah bagi memastikan orang ramai menerima maklumat yang tepat.







