SHAH ALAM, 19 OKT: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dicadang diperluas kepada pelajar tingkatan tiga tahun depan dengan memfokuskan intervensi awal bagi meningkatkan penguasaan Matematik.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata peluasan dan penambahbaikan program tuisyen percuma itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 pelajar di Selangor.
Jelas beliau, cadangan itu bertujuan membantu pelajar menguasai subjek Matematik lebih awal sebelum melangkah ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selaras dengan manifesto Kerajaan Negeri sebelum ini.
“Ini maknanya langkah intervensi subjek matematik untuk menuju kepada SPM itu kita awalkan ke tingkatan tiga kerana prestasi mata pelajaran itu di seluruh negara agak membimbangkan.
“Cadangan itu telah saya sampaikan dalam retreat STANCO Pendidikan baru-baru ini termasuk memohon tambahan peruntukan RM2 juta untuk PTRS dalam Belanjawan Selangor 2027.
“Ia menjadikan keseluruhan peruntukan yang dicadangkan untuk PTRS dan program pendidikan berkaitan seperti Program Didik Kasih adalah sebanyak RM14 juta, berbanding perbelanjaan RM12 juta tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, beliau berkata selain peluasan program kepada pelajar tingkatan tiga, Yayasan MBI turut merancang menambah baik portal ePTRS menerusi penyediaan latihan interaktif secara dalam talian.
“Maknanya kalau kita peluaskan kepada pelajar tingkatan tiga, kita boleh melepasi jumlah 200,000 pelajar yang menerima manfaat dalam program PTRS yang mana itu juga adalah manifesto Kerajaan negeri sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Azri berkata Yayasan MBI menerima surat penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor selama tiga tahun berturut-turut atas sumbangan PTRS terhadap pencapaian pelajar dalam SPM.
Menurutnya, PTRS membantu meningkatkan prestasi calon SPM di Selangor berdasarkan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) yang semakin baik dari tahun ke tahun.
Program tuisyen secara percuma itu memfokuskan bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan bagi pelajar tingkatan empat dan lima dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) atau prestasi pelajarannya sederhana atau lemah.









