SHAH ALAM, 9 NOV: Seramai 34 usahawan Platform Selangor (PLATS) merekodkan hasil jualan keseluruhan hampir RM125,000 sepanjang tiga hari Karnival Ban Canal 2026 di Sabak Bernam.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pencapaian itu dibantu menerusi penyediaan tapak niaga percuma serta program sokongan kupon PLATS Belanja kepada pengunjung.
Jelasnya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu usahawan PLATS meningkatkan jualan selain memberi peluang kepada mereka menjana pendapatan menerusi penyertaan dalam karnival tersebut.
“Yayasan MBI menyediakan tapak niaga secara percuma selain program sokongan kupon PLATS Belanja kepada pengunjung bagi membantu usahawan PLATS yang berniaga sepanjang karnival tersebut,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri menerusi Yayasan MBI untuk memberikan nilai tambah kepada usahawan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan.
Lebih 34,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari karnival yang berlangsung dari 6 hingga 8 November di Parit 14, Simpang Lima, Sabak Bernam bagi memeriahkan karnival yang dilaksana sejak 2022 itu.
Penganjuran Karnival Ban Canal yang diteruskan sejak 2022 bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti dan usahawan tempatan malah berpotensi menarik minat lebih banyak pihak swasta untuk meneroka peluang perniagaan serta pelaburan di Sabak Bernam.











