Najis tikus bawah peti sejuk, premis makanan di Bukit Sentosa ditutup

8 Nov 2026, 4:30 AM
Najis tikus bawah peti sejuk, premis makanan di Bukit Sentosa ditutup

SHAH ALAM, 8 NOV: Penemuan timbunan najis tikus di kawasan dapur, termasuk di bawah peti sejuk, membawa kepada penutupan sebuah premis makanan di Jalan Kamunting, Bukit Sentosa.

Tindakan itu diambil Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi Operasi Suci pada 4 November lalu, selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan gagal memenuhi piawaian kebersihan.

Operasi oleh Bahagian Inspektorat, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan itu turut mengesan peralatan memasak dan penyediaan makanan yang tidak bersih.

Keadaan ruang dapur sebuah premis makanan di Jalan Kamunting, Bukit Sentosa yang kotor dan tidak terurus, termasuk penemuan timbunan najis tikus serta peralatan memasak tidak bersih ketika pemeriksaan dijalankan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi Operasi Suci pada 4 November 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor

"Pemeriksaan turut menemukan peralatan memasak dan penyediaan makanan yang tidak bersih, bahan mentah yang disimpan tanpa penutup di dalam peti sejuk sehingga berisiko menyebabkan pencemaran silang, serta lantai dapur yang kotor, licin dan menakung air.

"Selain itu, ruang penyimpanan bahan makanan tidak teratur, perangkap sisa makanan dan minyak tidak diselenggara serta terdapat pelepasan efluen dan sisa makanan ke dalam longkang awam," menurut MPHS menerusi hantaran di Facebook.

Dalam operasi sama, MPHS mengesan ketidakpatuhan terhadap syarat pengendalian makanan, termasuk ketiadaan rekod suntikan anti-tifoid dan Kursus Pengendali Makanan yang sah.

Susulan pemeriksaan itu, sebanyak lapan notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan.

Keadaan ruang dapur sebuah premis makanan di Jalan Kamunting, Bukit Sentosa yang kotor dan tidak terurus, termasuk penemuan timbunan najis tikus serta peralatan memasak tidak bersih ketika pemeriksaan dijalankan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi Operasi Suci pada 4 November 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor

Pemilik premis turut diarahkan menjalankan kerja pembersihan dan penambahbaikan dalam tempoh 14 hari, bermula 4 hingga 17 November ini.

Sehubungan itu, MPHS mengingatkan pengusaha supaya sentiasa memastikan kebersihan premis dan kawalan haiwan perosak berada pada tahap memuaskan, selain mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan pengguna.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.