MPHS perkukuh pembangunan bandar mampan di forum PBB Geneva

3 Nov 2026, 12:53 PM
MPHS perkukuh pembangunan bandar mampan di forum PBB Geneva
MPHS perkukuh pembangunan bandar mampan di forum PBB Geneva
MPHS perkukuh pembangunan bandar mampan di forum PBB Geneva

SHAH ALAM, 3 NOV: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memperkukuh agenda pembangunan bandar mampan menerusi perkongsian antarabangsa dalam Forum Datuk Bandar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-6 di Geneva, Switzerland, baru-baru ini.

Menurut MPHS, forum bertemakan ‘Bandar Menjayakan Masa Depan Mampan’ itu membuka ruang kepada pihaknya berkongsi perspektif tempatan selain meneroka pendekatan pembangunan bandar mampan bersama wakil dari 85 bandar seluruh dunia.

“Forum yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dari 12 hingga 16 Oktober lalu menghimpunkan kira-kira 400 peserta membabitkan pemimpin bandar, kerajaan, organisasi antarabangsa dan masyarakat sivil.

“MPHS diwakili Yang Dipertuanya, Julaihah Jamaludin dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPHS, TPr Gs Azlina Mokhtar. Julaihah turut diberi peluang menyertai beberapa sesi forum sepanjang program berlangsung,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

MPHS berkata Julaihah menyertai sesi ‘Datuk Bandar Wanita: Memperkasa Kepimpinan Bandar untuk Masa Depan Mampan’ sebagai panelis dan berkongsi pandangan berkaitan kepimpinan wanita, tadbir urus serta pembangunan bandar yang inklusif dan mampan.

Beliau turut menjadi moderator bersama Tony Dyer dari Majlis Bandaraya Bristol, United Kingdom bagi sesi ‘Perumahan Mampan, Mencukupi dan Mampu Milik’ yang memberi tumpuan kepada usaha menyediakan perumahan berkualiti dan mampu dimiliki masyarakat.

Selain itu, Julaihah menyertai sesi ‘Kajian Semula Tempatan Secara Sukarela sebagai Proses dan Laluan Pelaksanaan’ yang membincangkan peranannya dalam menilai kemajuan, penyelarasan perancangan serta pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan.

Menurut MPHS, penyertaan itu memperkukuh jaringan dengan pemimpin bandar dan organisasi antarabangsa selain mendapatkan input bagi memperkasa Kajian Semula Tempatan Secara Sukarela (VLR) Hulu Selangor, Pelan Hala Tuju SDG serta Pelan Strategik MPHS 2024-2028.

Katanya, langkah berkenaan selaras dengan aspirasi MPHS untuk membangunkan Hulu Selangor sebagai perbandaran pintar, lestari dan dinamik di samping meningkatkan kesejahteraan komuniti serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.