Dapur penuh lipas, premis makanan di Sungai Choh diarah tutup

21 Okt 2026, 1:08 AM
Dapur penuh lipas, premis makanan di Sungai Choh diarah tutup
Dapur penuh lipas, premis makanan di Sungai Choh diarah tutup

SHAH ALAM, 21 OKT: Sebuah premis makanan di Sari Alamanda, Sungai Choh, Hulu Selangor diarah tutup selepas pemeriksaan menemukan kehadiran lipas yang banyak serta pelbagai ketidakpatuhan serius terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan pemeriksaan semalam turut menemukan peralatan memasak dan penyediaan makanan yang kotor, lantai dapur bertakung air serta dipenuhi sisa makanan.

Menurutnya, ruang penyimpanan premis juga didapati berhabuk dan tidak teratur, selain perangkap sisa makanan serta minyak tidak diselenggara dengan baik.

“Pemeriksaan turut menemukan ketidakpatuhan lain melibatkan sistem pelepasan asap dan haba yang tidak diselenggara, kebersihan tandas, telur ayam tidak dibasuh bersih serta kotak telur disimpan di kawasan penyediaan makanan,” katanya dalam kenyataan.

Keadaan ruang penyimpanan yang kotor dan tidak terurus dikesan ketika pemeriksaan MPHS di sebuah premis makanan di Sungai Choh. Foto Facebook MPHS

Pihak berkuasa tempatan itu turut mengesan penggunaan tong sampah tanpa penutup di ruang penyediaan makanan.

Susulan pemeriksaan berkenaan, MPHS mengeluarkan enam tawaran notis kompaun menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) serta dua lagi oleh Jabatan Penguatkuasaan.

MPHS turut mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Premis yang berkuat kuasa pada 19 Oktober lalu, manakala pemilik diberi tempoh 14 hari untuk melaksanakan kerja pembersihan dan penambahbaikan.

Pemantauan susulan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik mematuhi arahan penutupan serta melaksanakan tindakan pembetulan yang ditetapkan.

“Kebersihan premis makanan bukan sekadar melibatkan penampilan premis, malah merupakan aspek penting dalam melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna.

“Pengusaha premis bertanggungjawab memastikan premis sentiasa bersih, bebas daripada haiwan perosak serta mematuhi semua syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Operasi pemeriksaan berkenaan dilaksanakan Bahagian Inspektorat JPSPPA dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan MPHS.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.