KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kesihatan mental perlu diiktiraf sebagai keutamaan negara dengan usaha meningkatkan kesejahteraan mental bermula sejak zaman kanak-kanak dan diteruskan sepanjang alam persekolahan hingga alam pekerjaan, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Penasihat Kanan MEF bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata usaha menangani cabaran kesihatan mental memerlukan pendekatan kolektif membabitkan kerajaan, institusi pendidikan, keluarga, majikan, pekerja dan masyarakat.
"Aset terbesar negara ialah rakyatnya. Kita tidak boleh memandang ringan kesejahteraan mental kanak-kanak dan golongan muda kerana merekalah bakal pekerja, golongan profesional, usahawan, pemimpin perniagaan serta penggerak pembangunan negara pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kesedaran mengenai kesihatan mental dan daya tahan emosi perlu dipupuk sejak usia muda serta diperkukuh di peringkat sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti bagi melengkapkan golongan muda dengan keupayaan mengurus tekanan, menghadapi kegagalan serta mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Dalam konteks tempat kerja, Syed Hussain berkata majikan perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dan sistematik dalam menangani isu kesihatan mental dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan kaunseling, melatih petugas khusus untuk mengenal pasti tanda awal tekanan psikologi serta menggalakkan amalan pengurusan yang menyokong kesejahteraan pekerja.
Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mungkin tidak mempunyai kemampuan kewangan atau organisasi untuk menyediakan petugas khusus dalam bidang kesihatan mental, MEF menyarankan supaya khidmat pakar psikologi, kaunselor atau profesional kesihatan mental bertauliah diperoleh secara kontrak atau menerusi perkongsian perkhidmatan.
Syed Hussain berkata inisiatif kesihatan mental di tempat kerja perlu merangkumi pengesanan awal pekerja yang menghadapi masalah, akses kepada perkhidmatan kaunseling secara sulit dan rujukan kepada pakar, selain latihan kepada pengurus serta penyelia untuk mengenal pasti tanda tekanan emosi, berkomunikasi secara berhemah dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa memberikan stigma kepada pekerja terjejas.
Beliau berkata majikan juga perlu menilai faktor penyumbang tekanan di tempat kerja termasuk beban tugas berlebihan, jangkaan tidak munasabah, perbuatan buli, gangguan serta hubungan kerja yang tidak harmoni, di samping menggalakkan pembahagian tugas yang munasabah, komunikasi berkesan, layanan adil dan keseimbangan antara kehidupan dengan pekerjaan.
MEF turut menyeru kerajaan memperkukuh penyelarasan antara kementerian yang bertanggungjawab terhadap kesihatan, pendidikan, sumber manusia dan pendidikan tinggi, selain memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan mental pada kos berpatutan serta menyediakan panduan praktikal dan sokongan kepada majikan, khususnya PMKS.







