Ibu bapa, kerajaan perlu perkukuh peranan tangani isu kesihatan mental, keselamatan anak-anak

31 Okt 2026, 12:23 PM
Ibu bapa, kerajaan perlu perkukuh peranan tangani isu kesihatan mental, keselamatan anak-anak
Ibu bapa, kerajaan perlu perkukuh peranan tangani isu kesihatan mental, keselamatan anak-anak
Ibu bapa, kerajaan perlu perkukuh peranan tangani isu kesihatan mental, keselamatan anak-anak

KOTA BHARU, 31 OKT: Isu kesihatan mental dan keselamatan kanak-kanak yang semakin membimbangkan menuntut tanggungjawab bersama kerajaan, institusi pendidikan dan ibu bapa khususnya dalam memperkukuh pendidikan agama, nilai serta pembentukan sahsiah sejak kecil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pelbagai kes membabitkan kanak-kanak termasuk bunuh diri, penderaan dan buli menunjukkan perlunya penelitian semula terhadap peranan semua pihak dalam memastikan kesejahteraan serta keselamatan golongan itu.

Anwar berkata tanggungjawab membentuk sahsiah anak bukan hanya terletak pada institusi pendidikan, guru dan kerajaan sebaliknya bermula daripada keluarga sebagai asas utama pembentukan peribadi seseorang.

Beliau berkata kecuaian ibu bapa dalam memantau kehidupan harian anak-anak termasuk aspek pembelajaran, pergaulan dan penghayatan agama boleh menyumbang kepada pelbagai masalah sosial.

“Bayangkan, kalau 90 peratus keluarga kita jalankan tanggungjawab sebagai ibu, tanggungjawab sebagai bapa bagi keluarga, setengah masalah kita selesai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata pendidikan yang baik bukan sekadar melahirkan generasi berilmu dan menguasai teknologi tetapi perlu turut membentuk individu yang mempunyai adab, akhlak serta nilai kemanusiaan.

Beliau berkata usaha memperkukuh pendidikan agama perlu bermula dengan perkara asas termasuk penghayatan al-Quran, solat serta amalan menghormati ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

Sehubungan dengan itu, Anwar berkata tanggungjawab kerajaan, kementerian, kerajaan negeri dan jabatan berkaitan perlu diteliti semula bagi memastikan semua pihak memainkan peranan sewajarnya dalam membimbing serta melindungi kanak-kanak.

Berikutan itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan diarah mengambil tindakan tegas terhadap gejala buli di sekolah bagi memastikan institusi pendidikan bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik tetapi turut membentuk sahsiah dan akhlak mereka.

Anwar berkata kejadian buli dan perbuatan menghina rakan menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam penerapan nilai serta adab dalam sistem pendidikan.

“Kementerian Pendidikan diarah untuk keras dan tegas… guru dan pendidik di sini harus bantu jaga anak-anak kita,” katanya.

Beliau juga berkata kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi sekiranya seseorang pelajar gagal mengamalkan nilai hormat-menghormati dan menggunakan ilmu untuk tujuan yang baik.

Anwar berkata masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, jenayah dan kemerosotan akhlak turut memerlukan pendekatan menyeluruh bagi memastikan generasi muda dibimbing dalam persekitaran yang sihat.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua jabatan dan agensi kerajaan menghentikan amalan pentadbiran yang tidak cekap serta merugikan bagi memastikan pengurusan sumber awam dilaksanakan secara berkesan.

Perdana Menteri berkata penjawat awam perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme selain memastikan setiap peruntukan kerajaan memberikan manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata amalan lama yang tidak lagi sesuai dan merugikan perlu ditinggalkan sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Apabila pegawai dan penjawat awam menjalankan tugas dengan baik, kita haruslah sambut dan berikan penghargaan,” katanya sambil menambah kerajaan juga perlu memastikan pentadbiran bebas daripada amalan rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.