KUALA LUMPUR, 20 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mempertingkat saringan kesihatan mental secara berkala di sekolah bagi mengesan pelajar yang mengalami tekanan emosi sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah pencegahan awal itu perlu disokong dengan penambahan kaunselor terlatih, pengukuhan perkhidmatan kaunseling serta akses lebih mudah kepada bantuan profesional, lapor Berita Harian.
Menurutnya, isu bunuh diri dalam kalangan pelajar tidak boleh dipandang sebagai kes terpencil kerana mungkin berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk buli, tekanan akademik, masalah keluarga dan pengasingan sosial.
"Kita harus mengakui isu bunuh diri dalam kalangan pelajar tidak boleh ditangani semata-mata sebagai kes individu berikutan ia mungkin berpunca daripada gabungan pelbagai faktor.
"Faktor itu mungkin termasuk buli, buli siber, tekanan akademik, masalah keluarga, pengasingan sosial serta masalah kesihatan mental yang tidak mendapat rawatan sewajarnya. Setiap kes perlu diteliti dengan cermat tanpa membuat sebarang kesimpulan terburu-buru," katanya.
Lam Thye menegaskan kebimbangan berhubung kes bunuh diri dalam kalangan pelajar perlu ditangani sebagai isu nasional yang menuntut tindakan segera, bukan sekadar perhatian selepas sesuatu tragedi berlaku.
Katanya, KPM dan KKM juga perlu memperkukuh usaha membanteras buli serta buli siber menerusi mekanisme aduan berkesan, tindakan pantas dan pendekatan toleransi sifar terhadap gangguan atau intimidasi.
"Guru perlu dilatih mengenal pasti tanda amaran awal, manakala ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran rumah yang membolehkan anak berkongsi masalah tanpa takut dihakimi," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan susulan kepada pelajar yang terjejas akibat cubaan atau kejadian bunuh diri bagi mengelakkan tragedi berulang.
Dalam masa sama, Lam Thye mengingatkan bahawa pencapaian akademik tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal kejayaan sehingga kesejahteraan mental pelajar terabai.
"Kita perlu berhenti mengukur kejayaan semata-mata berdasarkan keputusan peperiksaan. Sekolah mesti menjadi persekitaran selamat, positif dan menyokong, iaitu setiap pelajar berasa dihargai, diterima dan diberikan perhatian," katanya.
Beliau turut menggesa media melaporkan kes bunuh diri secara bertanggungjawab tanpa unsur sensasi, sebaliknya memberi penekanan kepada langkah pencegahan serta saluran bantuan.
"Setiap anak penting, setiap nyawa berharga dan tidak sepatutnya ada pelajar yang merasakan bunuh diri satu-satunya jalan keluar daripada masalah dihadapinya," katanya.







