SHAH ALAM, 12 NOV: Sebanyak 25,043 permohonan insentif MamaKerja bernilai RM1,000 diterima sejak dibuka pada 17 Ogos lalu, melebihi dua kali ganda kuota 10,000 penerima yang ditetapkan Kerajaan Negeri.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata sambutan menggalakkan itu menyaksikan sasaran kuota program berkenaan berjaya dicapai, sekali gus membawa kepada penutupan permohonan bermula hari ini.
“Setakat hari ini, sebanyak 25,043 permohonan telah diterima. Alhamdulillah, sasaran kuota 10,000 penerima bagi program MamaKerja telah berjaya dicapai.
“Justeru, dimaklumkan permohonan serta laman web MamaKerja telah ditutup secara rasmi bermula 12 November,” katanya.
Anfaal turut merakamkan penghargaan kepada ibu bekerja di Selangor atas sambutan yang diberikan terhadap inisiatif berkenaan.
“Semoga insentif ini dapat membantu meringankan urusan harian keluarga dan memberi lebih ketenangan buat para ibu dalam meneruskan kerjaya,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri melonggarkan syarat kelayakan MamaKerja 2.0 bagi membolehkan lebih ramai ibu bekerja memohon bantuan sekali bayar RM1,000 itu.
Antara penambahbaikan utama ialah pemohon hanya perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia enam tahun ke bawah berbanding syarat minimum tiga anak ketika pelaksanaan MamaKerja 1.0.
Insentif berkenaan terbuka kepada ibu bekerja dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 sebulan.
MamaKerja merupakan antara inisiatif di bawah Tawaran Kita Selangor yang diumumkan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.






