RS-1: Usaha Selangor menginsani rakyat, negeri penyayang

23 Jul 2026, 3:00 AM
RS-1: Usaha Selangor menginsani rakyat, negeri penyayang

Pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) mengukuhkan lagi perkembangan sektor ekonomi dan pembangunan sosial sekali gus membawa manfaat kepada segenap lapisan rakyat.

Pelan lima tahun antara 2021 hingga 2025 itu menjadikan segala perancangan bukan lagi bersifat jangka pendek atau secara ad hoc sebaliknya lebih tersusun untuk tempoh panjang.

RS-1 yang dibentang Dato’ Menteri Besar juga menjadikan Selangor sebagai negeri penyayang termasuk berdaya huni berikutan matlamat akhirnya terarah kepada kepentingan penduduk, bukan semata-mata gemerlap angka ekonomi.

“Apabila kita bentang RS-1, kita bukan hanya bercakap tentang kemakmuran dan pendapatan tinggi tetapi juga daya huni. Daya huni itulah respons sebenar kepada kebahagiaan rakyat negeri ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada 24 April.

Melalui RS-1, Selangor menjadikan tempat ideal untuk dihuni. Penekanan diberi kepada faktor kesejahteraan dan kebajikan yang seimbang dan terangkum.

Wanita, oku, anak istimewa

Salah satu tumpuan ialah memperkasa wanita dalam sektor pekerjaan dan hak kesamarataan jantina. Misalnya, suri rumah menerima bimbingan untuk menjana pendapatan dengan mengasuh.

Mereka diberi latihan Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negeri Selangor (IMPAK Selangor). Lebih 2,200 pengasuh di rumah dibimbing dalam fasa pertama sepanjang tahun 2024 hingga 2025. Semuanya hasil peruntukan RM2 juta dan geran khas RM2,000.

Secara tidak langsung, usaha tersebut membantu hasrat negeri untuk menjadikan penyertaan tenaga buruh mencecah 75 peratus menjelang tahun 2030, berbanding 69.5 peratus ketika ini

Insentif MamaKerja sejak 2023 pula meringankan beban 5,000 wanita berkerjaya melalui pemberian RM1,000 sekali bayar kepada ibu kepada anak berusia enam tahun dan ke bawah di taska ataupun pusat penjagaan. Bilangan itu digandakan kepada 10,000 wanita dalam Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.

Dalam usaha meringankan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah, kelompok wanita termasuk ibu tunggal menerima RM300 sebulan atau RM3,600 setahun melalui Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

Sumbangan itu sedikit sebanyak membantu wanita membeli barangan asas dan peralatan sekolah anak-anak. Berdasarkan data Dewan Negeri Selangor sehingga 2024, BINGKAS membantu 30,000 keluarga melalui peruntukan RM108 juta.

Penjagaan kesihatan kaum Hawa juga dititik berat, khususnya pesakit barah payudara. Penyakit itu menunjukkan peningkatan ketara sejak 2007, malah 50.5 peratus kes lewat dikesan iaitu tahap tiga dan empat.

Justeru, wanita berumur 50 tahun dan ke atas berpeluang membuat pemeriksaan di Hospital Columbia, KPJ dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) melalui Skim Kesihatan Wanita Selangor (MammoSEL).

Kelompok wanita tertindas juga dibela. Selangor negeri pertama menyediakan skim bantuan guaman percuma sejak 2022 dengan kerjasama Majlis Peguam Malaysia dan Majlis Peguam Selangor. Setakat tahun lalu, dana RM127,000 dibelanjakan bagi menangani 58 kes.

Selain wanita, RS-1 juga menyediakan bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) supaya mereka menikmati sokongan berterusan untuk hidup berdikari melalui peluang pendidikan, pekerjaan dan pembangunan diri.

Usaha itu diterjemah menerusi pelbagai inisiatif yang membuka ruang pembelajaran dan latihan pekerjaan kepada belia OKU berusia antara 17 hingga 25 tahun supaya mereka mampu berdikari. Setakat 2023, seramai 48 peserta menyertai program itu sebelum memasuki alam pekerjaan.

Perhatian turut diberi kepada kanak-kanak berkeperluan khas melalui program Anak Istimewa Selangor (ANIS). Seramai 2,020 penerima menerima sumbangan tunai sekali bayar sehingga RM5,000 bagi meringankan beban keluarga.

Perkembangan awal kanak-kanak istimewa pula dijalankan menerusi Program Intervensi Awal ANIS. Sehingga kini, seramai 4,156 peserta dan kanak-kanak berkeperluan khas berdaftar di institusi bawah ANIS termasuk Pusat ANIS, Prasekolah ANIS dan Akademi ANIS.

Usaha tidak terhenti setakat pemberian bantuan, sebaliknya dijadikan dasar negeri. Pada Jun, Dasar Orang Kurang Upaya Selangor dan Pelan Tindakan 2026-2030 dilancarkan.

Tampung kos sara hidup

Selangor juga konsisten membantu orang ramai berdepan peningkatan kos sara hidup. Inisiatif Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga 30 peratus lebih rendah dari pasaran yang dijalankan secara berterusan sejak 2022.

JER diadakan dua kali sebulan meliputi 56 Dewan Undangan Negeri atau bersamaan 1,344 lokasi setahun. Bilangan barangan juga ditambah, daripada enam kepada 12 jenis mulai tahun 2025.

Melalui Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pula, peruntukan RM10 juta disediakan untuk manfaat kira-kira 168,000 isi rumah. Program tersebut diadakan meliputi 779 lokasi melibatkan kira-kira 3.1 juta rakyat.

Memahami rakyat menanggung perbelanjaan tinggi pada musim perayaan, keluarga berpendapatan bawah RM3,000 meliputi semua kaum menerima baucar Jom Shopping perayaan bernilai RM400. Ia meringankan beban mereka untuk membuat persiapan.

Tahun ini, seramai 92,400 orang menerima bantuan itu untuk menyambut Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali. Nikmati itu hasil peruntukan RM18.48 juta, tambahan RM2 juta berbanding tahun lalu.

Golongan veteran tentera juga tidak terkecuali. Selangor memperkenal baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara RM200 seorang kepada 8,317 veteran hasil peruntukan RM1.7 juta.

Selain itu, seramai 1,139 peniaga kecil menerima bantuan alatan perniagaan dan latihan bernilai sehingga RM10,000 melalui Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor. Usaha itu berupaya membawa mereka keluar kitaran kemiskinan.

Dasar Ekonomi Penjagaan, pertama seumpamannya di negara ini diperkenal ekoran Selangor berdepan situasi negeri menua menjelang tahun 2030. Dasar itu membela warga emas untuk meneruskan kehidupan dengan bermaruah.

Tahun ini, latihan penjagaan warga emas diadakan bagi memastikan golongan rentan menerima sokongan menyeluruh dan berkualiti.

Baucar beli-belah bernilai RM150 juga dihulur kepada warga emas dan OKU. Dana ditambah kepada RM55 juta berbanding RM20 juta pada 2024. Inisiatif itu memperkukuh ekosistem sektor penjagaan.

Pun begitu, segala bentuk bantuan, langkah dan dasar baharu tidak lengkap selagi kemiskinan membelenggu rakyat. Justeru, Selangor gigih berusaha untuk membasminya secara menyeluruh.

Terbaharu, negeri berjaya menghapus kemiskinan tegar pada 2024, selain mencatat penurunan kadar kemiskinan mutlak kepada 0.9 peratus berbanding 1.5 peratus pada 2022. Pendekatan negeri bukan sekadar membasmi kemiskinan, sebaliknya tumpuan diberi kepada usaha menyediakan rakyat menjana sumber pendapatan.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.