SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai kira-kira 10,000 ibu bekerja di Selangor bakal menerima Insentif MamaKerja bernilai RM1,000 setiap seorang menerusi aplikasi Nine apabila permohonan fasa baharu program itu dibuka Ogos ini.
Dato’ Menteri Besar berkata penyaluran menerusi aplikasi berkenaan merupakan langkah memperluas akses ibu bekerja kepada bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, fasa baharu MamaKerja turut diperkukuh menerusi penambahan peruntukan RM5 juta di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, sekali gus menjadikan keseluruhan dana program meningkat kepada RM10 juta.

“Program MamaKerja merupakan janji Kerajaan Perpaduan kepada rakyat sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 dan kini berjaya ditunaikan.
“Insentif RM1,000 ini akan disalurkan menerusi aplikasi Nine sebagai sokongan kepada ibu bekerja yang mempunyai anak kecil dan memerlukan khidmat taska atau pusat jagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, bantuan berkenaan terbuka kepada ibu bekerja yang mempunyai sehingga tiga anak berusia bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 sebulan.
Menurutnya, inisiatif itu diwujudkan bagi membantu ibu bekerja menangani peningkatan kos penjagaan anak, selain mengelakkan mereka terpaksa memilih antara meneruskan kerjaya atau berhenti bekerja.
“Sejak dilancarkan, Kerajaan Negeri menerima 5,595 permohonan dengan seramai 3,850 ibu bekerja telah menerima insentif ini.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri memperkasa wanita bekerja serta mengiktiraf peranan mereka sebagai tulang belakang keluarga dan penggerak ekonomi Selangor,” katanya.

Inisiatif MamaKerja merupakan antara Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari yang dijanjikan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.
Insentif sekali bayar sebanyak RM1,000 itu layak dimohon wanita bekerja yang mempunyai sehingga tiga anak berusia bawah 12 tahun serta pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 sebulan.







