HULU LANGAT,4 JULAI: Permohonan inisiatif MamaKerja yang diperkenalkan bagi meringankan beban kos penjagaan anak-anak berumur enam tahun dan ke bawah mula dibuka pada Ogos depan.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata insentif RM1,000 seorang menerusi Pakej Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu boleh dimohon menerusi aplikasi Nine.
“Kita akan luncurkan pada bulan Ogos nanti inisiatif MamaKerja yang mana anak-anak yang di bawah enam tahun kepada ibu-ibu yang bekerja ini adalah mereka yang dihantar ke taska berdaftar, tadika berdaftar dan juga pengasuh-pengasuh.
“Jadi inisiatif ini kita ingin dapatkan data di mana pengasuh-pengasuh ini berada kerana di bawah akta pengasuh yang menjaga dirumah di bawah empat orang anak empat orang anak dan ke bawah tidak tertakluk di bawah mana-mana akta,” katanya.
Ditemui pada majlis perasmian Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 zon Hulu Langat, Anfaal memaklumkan bantuan tersebut akan memanfaatkan seramai 10,000 ibu bekerja.
“Permohonan menerusi dalam talian… formatnya sedikit berbeza tetapi jumlah yang akan mereka terima tetap sama itu nilai RM1,000 bermanfaat kepada 10,000 ibu-ibu bekerja,” ujarnya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor mengumumkan tambahan RM5 juta diperuntuk pentadbiran negeri.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata tambahan peruntukan itu bakal memperluas manfaat kepada 5,000 lagi ibu bekerja, menjadikan jumlah penerima keseluruhan seramai 10,000 orang di Selangor.
Inisiatif MamaKerja antara Tawaran Kita Selangor dalam 100 hari yang dijanjikan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat pada Ogos 2023.
Insentif sekali bayar sebanyak RM1,000 itu layak dimohon wanita bekerja yang memiliki tiga anak bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000.







