Dasar pekerjaan bantu wanita bekerjaya urus rumah tangga

2 Nov 2026, 1:00 AM
Dasar pekerjaan bantu wanita bekerjaya urus rumah tangga
Dasar pekerjaan bantu wanita bekerjaya urus rumah tangga
Dasar pekerjaan bantu wanita bekerjaya urus rumah tangga

SHAH ALAM, 2 NOV: Selangor menggerakkan usaha memperluas dasar kerja mesra keluarga bagi membantu pekerja wanita mengimbangi tuntutan tugas, di samping melunaskan tanggungjawab rumah tangga.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari memberitahu perkara yang diberi perhatian antaranya waktu kerja anjal, cuti penjagaan dan cuti paterniti bagi mengurus keperluan keluarga.

Katanya, dasar yang dibangunkan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dimulakan dalam libat urus bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita mulakan dengan GLC sebelum diperluas sebagai dasar rasmi. Kita melihat keperluan keluarga dengan lebih peka dan tidak terlalu rigid dalam soal pengurusan pekerja,” katanya.

Tahun lalu, Anfaal berkata konsep bekerja dari rumah di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menunjukkan kesan positif kepada produktiviti dan kesejahteraan pekerja wanita.

Justeru, beliau menjelaskan Kerajaan Selangor akan menerap dasar itu dalam kajian WBS untuk memudahkan golongan ibu bekerja menyeimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

Katanya, pentadbiran negeri juga menyediakan latihan asuhan di rumah bagi meningkatkan kualiti asuhan melalui Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (IMPAK) Selangor.

“Setakat 2024, Kerajaan Negeri pernah memberi geran sebanyak RM2,000 kepada 200 pengasuh yang mengikuti kursus IMPAK ini,” tambahnya.

Dalam aspek perumahan pula, Anfaal berkata Rumah Selangorku membantu pasangan dan keluarga muda mendapatkan kediaman mampu milik, sekali gus mengurangkan komitmen terbesar dalam rumah tangga.

Katanya, insentif Mama Kerja pula menawarkan bantuan RM1,000 kepada 10,000 ibu bekerja tahun ini bagi meringankan kos penjagaan anak, selain membantu mereka kekal dalam pasaran kerja.

“Insentif ini mendapat sambutan baik. Kita tumpukan ibu bekerja kerana ada wanita terpaksa memilih sama ada terus bekerja atau berhenti apabila berdepan kos penjagaan anak yang tinggi.

“Jadi, kita mahu wanita kekal dalam tenaga kerja kerana mereka juga penyumbang kepada ekonomi negara,” katanya sambil menambah inisiatif itu turut dilengkapi Mama Kerja Plus.

Mama Kerja Plus dibangunkan dengan kerjasama Tabung KanakKanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan WBS bagi menyediakan sokongan keibubapaan yang mempunyai anak kecil.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.