PWS salur wakaf RM78,714, naik taraf kemudahan tiga masjid

28 Okt 2026, 1:00 PM
PWS salur wakaf RM78,714, naik taraf kemudahan tiga masjid

SHAH ALAM, 28 OKT: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf berjumlah RM78,714 bagi menambah baik kemudahan tiga masjid di negeri ini demi keselesaan jemaah.

PWS memaklumkan sebanyak RM50,000 menerusi wakaf fisabilillah disalurkan kepada Masjid Ar-Rohmaniah, Kampung Sungai Lang Baru, Banting bagi kerja menaik taraf kubah masjid berkenaan.

Sementara itu, Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya menerima RM12,514 daripada tabung wakaf tunai untuk membeli empat set komputer bagi kegunaan pejabat pengurusan masjid.

“Agihan tabung wakaf tunai adalah hasil kutipan tabung wakaf yang ditempatkan di masjid berkenaan, di mana 50 peratus daripada jumlah kutipan dipulangkan semula kepada pihak masjid.

Wakil Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya menerima agihan Tabung Wakaf Tunai berjumlah RM12,514 daripada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bagi pembelian empat set komputer untuk kegunaan pejabat pengurusan masjid. Foto Facebook PWS

“Ia bagi melaksanakan projek pembangunan dan penambahbaikan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Masjid Kampung Perepat, Kapar, Klang menerima sumbangan wakaf fisabilillah sebanyak RM16,200 bagi pembelian tiga unit penyaman udara berdiri untuk meningkatkan keselesaan jemaah.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu pihak masjid menyediakan kemudahan lebih selesa kepada jemaah. PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pewakaf serta pihak pengurusan masjid atas komitmen berterusan dalam memperkasakan institusi wakaf.

“Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi amal soleh yang berterusan dan memberi manfaat kepada ummah untuk generasi akan datang,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.