SHAH ALAM, 20 OKT: Orang ramai berpeluang menyertai kempen Year End Wakaf 2026 dengan sumbangan serendah RM10 sebulan menerusi kaedah potongan automatik (Direct Debit) melalui InfaqPay.
Kempen anjuran Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), berlangsung sejak 15 Oktober hingga 31 Disember depan bagi menggalakkan masyarakat membudayakan amalan berwakaf secara konsisten.
Menerusi kempen bertemakan “Wakaf Berterusan, Manfaat Berpanjangan” itu, peserta turut berpeluang memenangi hadiah dengan nilai keseluruhan RM17,000.
Antara hadiah yang ditawarkan ialah tiga unit basikal elektrik (e-bike), tiga unit skuter elektrik (e-scooter), tiga unit televisyen pintar (smart TV) bersaiz 32 inci, lima unit jam tangan pintar serta 10 keping jongkong emas seberat satu gram setiap satu.
Penyertaan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada bahan promosi atau melayari laman web InfaqPay Wakaf Selangor di https://infaqpay.my/go/wakafselangor.
Orang ramai kemudian boleh memilih sumbangan wakaf bulanan serendah RM10 dan mengesahkan arahan potongan automatik menerusi akaun bank masing-masing bagi melengkapkan penyertaan.
Pewakaf sedia ada turut dialu-alukan menambah sumbangan bulanan sebanyak RM10 menerusi kaedah sama untuk menyertai kempen berkenaan.
PWS menggalakkan orang ramai mengambil peluang itu untuk meneruskan amalan wakaf secara konsisten demi manfaat ummah, selain berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan.







