SHAH ALAM, 12 NOV: Kunjungan akademik delegasi Universitas Andalas, Padang, Indonesia, ke Media Selangor Sdn Bhd semalam memperluas perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang komunikasi strategik serta pengurusan media.
Delegasi seramai 22 individu yang terdiri daripada 12 pensyarah dan 10 mahasiswa bidang komunikasi itu berpeluang mendalami operasi Media Selangor sebagai organisasi media, selain memahami amalan komunikasi korporat dan peranan komunikasi strategik dalam membina reputasi serta kepercayaan masyarakat.
Ketua Pengarang Media Selangor, Noor Azam Shairi menyambut baik kunjungan berkenaan yang merupakan lawatan akademik pertama daripada universiti luar negara ke syarikat media itu.

Beliau berharap kunjungan tersebut menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam perkongsian kepakaran, pembangunan bakat, latihan industri serta pertukaran ilmu dan pengalaman dalam bidang media dan komunikasi.
Sepanjang kunjungan itu, delegasi turut dibawa melawat studio Media Selangor sebelum mengikuti sesi perkongsian bertajuk “Peranan Komunikasi Strategik dalam Membina Kepercayaan dan Reputasi Organisasi” yang disampaikan Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian Media Selangor, Mahadi Mohd Mustafa.

Sesi berkenaan mengetengahkan kepentingan komunikasi berkesan, pengurusan hubungan dengan pemegang taruh, pembinaan reputasi korporat serta pendekatan menangani isu dan komunikasi krisis berdasarkan pengalaman industri.
Selain pendedahan kepada operasi media, kunjungan itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai cabaran dan perkembangan semasa dalam bidang komunikasi serta industri media.

Media Selangor menyambut baik kunjungan akademik seumpama itu sebagai usaha memperluas jaringan dengan institusi pengajian tinggi, termasuk di peringkat antarabangsa, di samping menyokong pembangunan bakat dan profesionalisme dalam bidang komunikasi.








