KUALA LUMPUR, 14 OKT: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam industri media tidak seharusnya mengetepikan peranan manusia, khususnya dalam penyuntingan dan semakan kandungan sebelum diterbitkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata teknologi itu mampu mempercepat proses kerja dan meningkatkan penghasilan kandungan kreatif, namun sentuhan manusia tetap penting bagi memastikan ketepatan maklumat.
“AI boleh digunakan untuk mempercepatkan proses kerja dan memperbanyakkan lagi kandungan-kandungan yang bersifat kreatif untuk menarik minat pengguna.
“Namun begitu, saya menekankan bahawa elemen sentuhan manusia masih perlu dikekalkan terutama dalam proses penyuntingan kandungan sebelum diterbitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pembentangan dalam forum Kepercayaan, Kepengarangan dan Masa Depan Kreativiti dalam Media Dijana AI sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Dalam menghadapi cabaran penyebaran maklumat palsu, Mohamed Fareed berpandangan kredibiliti media bergantung pada ketelitian proses semakan fakta dan keupayaan organisasi menyampaikan maklumat yang boleh dipercayai.
“Kepercayaan sangat penting dalam industri media terutama dalam kita mendepani isu-isu seperti penyebaran maklumat palsu.
“Oleh itu, kerja keras harus dilakukan untuk menyemak setiap fakta sebelum sesuatu maklumat dikeluarkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa perkembangan teknologi tidak boleh menghakis fungsi media sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.
Peranan itu perlu terus dipertahankan bagi memastikan industri media melaksanakan tanggungjawabnya kepada masyarakat, selain mengekalkan kepercayaan khalayak terhadap laporan yang diterbitkan.
Seiring perkembangan pesat teknologi berkenaan, Mohamed Fareed turut menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang lebih ketat bagi mengawal penggunaan AI.
Terdahulu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyempurnakan majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara yang berlangsung hingga 17 Oktober itu menampilkan 526 reruai pameran dengan penyertaan dari Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, India, Jerman, Amerika Syarikat dan Brazil.
Memasuki edisi ke-10, SIBS 2026 memberi tumpuan kepada inovasi, daya tahan dan kemampanan.








