MIHAS 2026: Media Selangor tawar pakej media serendah RM2,999

23 Sep 2026, 9:19 AM
MIHAS 2026: Media Selangor tawar pakej media serendah RM2,999
MIHAS 2026: Media Selangor tawar pakej media serendah RM2,999
MIHAS 2026: Media Selangor tawar pakej media serendah RM2,999

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) menawarkan pakej media serendah RM2,999 kepada pempamer Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 bagi membantu memperluas promosi produk dan perniagaan menerusi platform syarikat itu.

Perancang Medianya, Najwa Mohd Ghazali berkata tawaran berkenaan menjadi antara kelainan yang dibawa sempena penyertaan kali ketiga dalam pameran di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Menurut beliau, pakej itu memberi peluang kepada pempamer, khususnya dalam sektor makanan, kecantikan dan kesihatan, untuk memperluas promosi produk menerusi platform Media Selangor.

“Pada tahun ini, kita adakan pakej yang paling berbaloi kepada sekumpulan pempamer atau pengunjung MIHAS dengan pakej yang agak murah, kurang daripada RM3,000 untuk menyertai platform Media Selangor.

“Itu tujuan kita datang dan menyertai setiap tahun dan Alhamdulillah ini merupakan tahun ketiga kita sertai MIHAS 2026,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Perancang Media Media Selangor Sdn Bhd, Najwa Mohd Ghazali ketika ditemui pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, 23 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Najwa berkata Media Selangor turut menyediakan pelbagai aktiviti di reruai sepanjang pameran, termasuk pemberian cenderamata seperti pen dan buku nota kepada pengunjung bertuah.

“Kita membawa penjenamaan Media Selangor kepada seluruh pempamer dan juga pengunjung di luar sana. Pada masa sama, kita perkenalkan juga pakej yang kita bawa secara istimewa kepada pengunjung dan pempamer,” katanya.

Mengulas sambutan hari pertama, Najwa berkata lokasi reruai yang agak jauh ke belakang berbanding penyertaan sebelum ini tidak menghalang pengunjung untuk singgah dan mendapatkan maklumat.

Katanya, sejak reruai dibuka pada jam 9 pagi, pengunjung mula hadir, meninggalkan kad perniagaan serta bertanyakan tawaran yang disediakan.

“Kita harapkan sehingga hari terakhir Sabtu ini, kita dapat (menjalin) lebih banyak perkenalan dengan pempamer dan pelanggan di luar sana,” katanya.

Suasana sekitar Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, 23 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Reruai Media Selangor di tingkat dua, Dewan 8 dibuka sepanjang MIHAS 2026 bagi membolehkan pempamer dan pengunjung mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan serta tawaran yang disediakan.

Najwa berkata pengunjung juga boleh meneroka peluang pemasaran dan kerjasama dengan Media Selangor bagi memperluas promosi syarikat serta produk masing-masing.

MIHAS ke-22 yang membuka tirai hari ini di MITEC dijangka menarik 50,000 pengunjung dari 45 negara.

Dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaras oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), acara berlangsung hingga 26 September dengan penyertaan 1,700 syarikat dan 2,400 reruai.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.