SHAH ALAM, 19 SEPT: Media Selangor merangkul lima anugerah pada Malam Gala Sinergi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Media 2025 menerusi pencapaian wartawan serta jurugambarnya dalam beberapa kategori.
Kejayaan itu disumbangkan wartawan Siti Sofia Md Nasir dan Siti Nadiah Ahmad Zamlus serta jurugambar Mohammad Raheemie Arifin, selain Media Selangor menerima Anugerah Khas Datuk Bandar.
Siti Sofia memenangi tempat pertama bagi Anugerah Berita Digital Terbanyak dan Anugerah Liputan Berita Terbanyak menerusi laporan bertajuk EXCO: Festival Pasar Saloma Hujung Bulan Ini, Himpun Makanan Warisan, Popular dan MBSA Diiktiraf PBT Pertama Terima Sijil Patuh Syariah Dalam Amalan Kewangan.
Menurutnya, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan media amat penting kerana pengamal media berperanan sebagai penghubung dalam menyampaikan isu serta suara rakyat kepada pihak berkuasa.
“Jadi, pengiktirafan ini memberi semangat tambahan kepada saya untuk terus menghasilkan liputan berkualiti dan berimpak termasuk mengangkat isu berkaitan MBSA,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Mohammad Raheemie meraih tempat pertama bagi Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik menerusi karya Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam.
Beliau berkata pengiktirafan itu memberi ruang kepada pengamal media mengetengahkan hasil kerja masing-masing, selain menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya lebih baik.
“Saya sangat menghargai pengiktirafan daripada MBSA kerana ia memberi peluang kepada kami sebagai pengamal media untuk mengetengahkan hasil kerja yang telah dihasilkan selain membuktikan usaha dan komitmen dalam membuat liputan mendapat perhatian.
“Penganugerahan ini juga menjadi motivasi untuk saya terus memperbaiki mutu hasil kerja, menghasilkan karya yang lebih baik dan berkualiti serta memberikan liputan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat selepas ini,” katanya.
Bagi pencapaian keseluruhan, Siti Sofia membawa pulang wang tunai keseluruhan RM3,000 berserta trofi menerusi dua anugerah berkenaan yang masing-masing bernilai RM1,500.
Mohammad Raheemie pula menerima wang tunai RM1,000 berserta trofi bagi Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik.

Dalam kategori penyiaran, Siti Nadiah meraih tempat pertama bagi Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik menerusi laporan bertajuk Mesin Sisa Minyak Jana Wang Tunai dan membawa pulang wang tunai RM1,500.
Melengkapkan lima kemenangan itu, Media Selangor turut menerima Anugerah Khas Datuk Bandar berserta hadiah wang tunai RM2,000.
Malam Gala Sinergi MBSA dan Media 2025 diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang membuat liputan serta menyampaikan perkembangan berkaitan pentadbiran PBT berkenaan.
Kerjasama antara MBSA dan media turut membantu menyalurkan maklumat mengenai program, inisiatif serta perkhidmatan PBT itu kepada masyarakat, sekali gus meningkatkan kefahaman penduduk terhadap usaha penambahbaikan yang dilaksanakan.










