GOMBAK, 22 OGOS: Modul Program Tuisyen Rakyat diperluas ke Kelantan dengan kira-kira 2,500 pelajar tingkatan empat dan lima di dua jajahan menerima manfaat program berkenaan.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan sebelum ini berjaya membantu 160,000 pelajar daripada keluarga di Selangor yang kurang berkemampuan mendapatkan tuisyen.
“Modul kita itu sudah dibawa ke NGO di Kelantan, sekarang ini di dua jajahan ada 2,500 pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 di Kelantan yang kita bantu bersama Dr Hafidzah (Mustakim) (Ahli Dewan Negeri Kota Lama) untuk program tuisyen dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad ke-40 di sini, hari ini.
Beliau berkata modul berkenaan membantu pelajar membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain memberi peluang kepada sebahagian peserta memperoleh keputusan cemerlang.
Katanya, pelaksanaan program di Kelantan mendapat sambutan dan modul berkenaan sudah berjalan serta berjaya dilaksanakan.
“Kita tunjuk bukan dengan persaingan suara kepimpinan, tapi kita tunjuk dengan program. Alhamdulillah, program itu diterima,” katanya.
Menurutnya, peluasan modul berkenaan ke Kelantan membuktikan pendekatan pendidikan yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan oleh pelajar di luar Selangor.
Program Tuisyen Rakyat merupakan antara inisiatif pendidikan yang dilaksanakan bagi membantu pelajar, khususnya mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan khidmat tuisyen, dengan modul pembelajaran yang disediakan.
Perasmian Karnival Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad ke-40 di SRI Gombak hari ini turut menjadi platform menghimpunkan warga pendidikan, pelajar dan masyarakat bagi meraikan empat dekad penubuhan institusi berkenaan.







