Inkues: Tiada bukti Zara Qairina ditolak atau dibunuh - pegawai penyiasat

14 Okt 2026, 8:34 AM
Inkues: Tiada bukti Zara Qairina ditolak atau dibunuh - pegawai penyiasat

SHAH ALAM, 14 OKT: Siasatan polis terhadap kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tidak menemukan unsur mangsa ditolak atau dibunuh, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu hari ini.

Pegawai penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung berkata berdasarkan siasatannya, tiada unsur mencurigakan ditemukan berkaitan kematian Zara, lapor Berita Harian.

Ketika disoal peguam Joan Goh mengenai kemungkinan kematian Zara berpunca daripada kemalangan, Yew Zhung berkata perkara tersebut perlu dirujuk kepada pakar.

Beliau turut mengesahkan kepada Goh bahawa siasatan merangkumi hubungan Zara dengan ahli keluarganya, yang merupakan antara kira-kira 200 individu dipanggil untuk dirakam keterangan.

Goh kemudian bertanya sama ada siasatan polis mengenal pasti mana-mana pihak yang berkemungkinan mempunyai motif memalsukan tulisan tangan Zara dalam diari serta 15 helaian kertas yang diserahkan kepada beliau, seperti dimaklumkan dalam keterangannya sebelum ini.

"Tiada sebarang kepentingan bagi mana-mana pihak untuk berbuat demikian," jawabnya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Yew Zhung berkata punca kematian Zara telah dikenal pasti menerusi diagnosis doktor sebelum bedah siasat dijalankan.

Sebelum ini, ibu Zara dilaporkan dimaklumkan oleh Dr Pavankumar Balachandran bahawa anaknya meninggal dunia akibat severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy, iaitu kecederaan otak traumatik teruk yang dikaitkan dengan ensefalopati hipoksik iskemik.

Yew Zhung bersetuju dengan Shahlan bahawa bedah siasat tetap perlu dijalankan sekiranya punca kematian diketahui tetapi terdapat keadaan atau persekitaran yang mencurigakan.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau percaya terdapat keadaan mencurigakan di sebalik kematian Zara, Yew Zhung berkata penilaian awal berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, maklumat dalam diari Zara dan diagnosis doktor tidak menemukan sebarang kejanggalan.

Beliau menambah, hasil akhir siasatan juga menunjukkan tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa selain kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Zara ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Pada 20 Ogos 2025, lima pesalah kanak-kanak yang dikenali dengan pseudonim Pelajar A, B, C, D dan E dihadapkan ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Prosiding inkues bermula pada 3 September 2025 bagi menentukan punca sebenar dan keadaan di sekeliling kematian Zara, termasuk menyiasat kemungkinan wujudnya unsur jenayah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.