Kes buli sekolah: Fadhlina gesa guru dilatih bertindak segera

20 Okt 2026, 1:37 PM
Kes buli sekolah: Fadhlina gesa guru dilatih bertindak segera

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Guru perlu dilatih untuk memberikan respons segera dan melaksanakan intervensi yang berkesan dalam setiap aduan buli bagi mengelakkan kesan berpanjangan terhadap mangsa, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau berkata keupayaan guru membaca situasi, memahami keadaan mangsa dan pelaku serta mengambil tindakan bersesuaian perlu menjadi sebahagian daripada latihan perguruan bagi memastikan setiap kes buli ditangani secara menyeluruh.

“Respons guru ini harus dilatih, termasuk bagaimana membaca situasi, melihat keadaan mangsa dan pelaku buli serta melaksanakan intervensi ekologi bagi memastikan semua pihak bergerak seiring,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Literasi Antibuli Sempena Penataran Akta Antibuli 2026 bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan di IPG Kampus Bahasa Melayu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Fadhlina berkata tindakan menangani buli perlu dilaksanakan secara bersepadu di semua peringkat, daripada guru dan pentadbir sekolah hingga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata pembentukan karakter perlu menjadi asas latihan bakal guru bagi melahirkan pendidik yang mampu membentuk sahsiah murid, sekali gus membantu menangani isu buli di sekolah.

Selain itu, Fadhlina berkata kemerosotan sokongan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak seperti yang dilaporkan dalam keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) sebelum ini perlu diberikan perhatian serius.

Beliau berkata kekurangan sokongan di rumah boleh menjejaskan ekosistem pendidikan dan kesejahteraan murid, justeru ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memahami pengalaman anak-anak di sekolah.

“Sokongan ibu bapa kepada pendidikan anak-anak merudum jatuh. Maksudnya, anak-anak di Malaysia ini sedang berdepan satu ekosistem yang sangat memeritkan dalam kehidupan mereka kerana proses pendidikan mereka itu tidak disokong oleh ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, Azalina dalam ucapannya berkata Tribunal Bagi Antibuli (TAB) menerima 68 aduan berkaitan kes buli bagi tempoh 17 Jun hingga 19 Okt tahun ini, dengan 51 aduan telah selesai manakala 17 lagi masih dalam tindakan.

Mengikut kategori umur mangsa, sebanyak 42 aduan melibatkan individu berusia 13 hingga 17 tahun, diikuti 22 aduan membabitkan mangsa berumur tujuh hingga 12 tahun, manakala empat aduan melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

Beliau berkata peningkatan jumlah laporan selepas statistik aduan buli bagi TAB itu diwujudkan merupakan petanda positif bagi kerajaan kerana menunjukkan kesedaran masyarakat untuk melaporkan kes buli menerusi tribunal berkenaan.

Program berkenaan merupakan inisiatif kesedaran dan pendidikan perundangan yang bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar IPG tentang isu buli, implikasi perundangan, mekanisme pelaporan serta langkah pencegahan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.