SHAH ALAM, 10 NOV: Sembilan kawasan di Kuala Selangor menjadi tumpuan langkah mitigasi banjir menerusi kerja penyelenggaraan saliran, pengoperasian pam dan pembaikan kolam takungan, selain perancangan projek tebatan jangka panjang.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan daerah itu merekodkan jumlah lokasi terjejas paling banyak, iaitu sembilan daripada keseluruhan 15 kawasan di empat daerah susulan hujan sangat lebat pada 5 hingga 7 November lalu.
Menurutnya, hujan dengan bacaan antara 51.5 hingga 114.5 milimeter turut menjejaskan empat kawasan di Klang serta masing-masing satu di Petaling dan Sepang.
"Hujan sangat lebat dalam tempoh yang singkat dikenal pasti berpunca daripada beberapa faktor iaitu taburan hujan yang tinggi, limpahan sungai, ketidakcukupan saliran dalaman untuk menampung air larian permukaan, aras jambatan rendah dan sempit serta faktor luaran antaranya tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan aras ban sungai sedia ada," menurut kenyataan semalam.
Di Kuala Selangor, antara kawasan yang dikenal pasti ialah Taman Perumahan Seri Alam, Mapel Hillpark, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kuching Tengah, Saujana Perdana, Batu 7 Kampung Ijok, Kampung Jaya Setia, Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Parit Mahang.
Bagi Taman Seri Alam, langkah segera merangkumi pengoperasian rumah pam oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), pemasangan pam bergerak oleh JPS serta pembaikan kolam takungan banjir sedia ada oleh pemaju.
Projek menaik taraf sistem saliran di kawasan perumahan Saujana Utama pula dijangka memasuki peringkat tender pada Disember ini, manakala projek saliran Seri Alam dijadualkan untuk tender pada suku kedua 2027.
Di Mapel Hillpark, JPS melaksanakan penyelenggaraan kolam takungan banjir sedia ada serta kerja membaik pulih Kolam Takungan Banjir Palma Hillpark.
Sementara itu, kerja penyelenggaraan saliran utama dan pengoperasian beberapa pam skru diteruskan di Kampung Bukit Hijau bagi membantu mengurangkan risiko limpahan air.
Projek menaik taraf sistem saliran di kawasan itu dirancang dengan pengambilan tanah pada 2027, manakala tender dijangka dilaksanakan pada 2028.
Langkah jangka panjang turut melibatkan cadangan pembinaan sistem takungan air linear oleh pihak Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta peningkatan kapasiti kolam takungan oleh IJM Land.
Di Batu 7 Kampung Ijok, tindakan segera melibatkan pengoperasian pam skru dan pam bergerak, selain kerja membaik pulih serta meninggikan benteng Sungai Buloh yang sedang dilaksanakan.
Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2 pula masih pada peringkat penyediaan reka bentuk.
Bagi Kampung Jaya Setia, kerja penyelenggaraan parit sedang dilaksanakan, manakala projek menaik taraf sistem saliran dijangka ditender pada suku pertama 2027.
Di Jalan Bahagia, Kampung Parit Mahang, kerja penyelenggaraan parit dan saliran Sungai Janggut serta Sungai Sembilang diteruskan, selain pengoperasian pam skru Parit Gajah.
Langkah jangka panjang turut melibatkan cadangan meninggikan aras Jalan Bahagia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Bagi Kampung Bukit Kerayong, kerja penyelenggaraan saliran utama dilaksanakan secara berkala, manakala cadangan RTB Lembangan Sungai Sembilang dan Sungai Janggut masih pada peringkat permohonan projek baharu.
Dua lagi lokasi yang turut diberi perhatian ialah Kampung Bukit Kuching Tengah dan Saujana Perdana, masing-masing melibatkan penyelenggaraan saliran serta pengoperasian pam bagi membantu mengurangkan limpahan air.
JPS Selangor memaklumkan pelaksanaan langkah jangka pendek dan panjang itu merupakan antara usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam menangani kejadian banjir di kawasan terjejas.
"Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian terhadap setiap kejadian banjir yang berlaku.
"Namun demikian, risiko banjir tidak boleh dihapuskan sepenuhnya memandangkan faktor muka bumi yang rendah serta cuaca ekstrem akibat perubahan iklim," menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh menyemak perkembangan projek menerusi Dashboard Projek Mitigasi Banjir JPS Selangor yang dikemas kini selewat-lewatnya pada 10 hari bulan setiap bulan.







