Pelan mitigasi banjir PJ akan dilaksana segera, libat 39 projek bernilai RM40.56 juta

23 Jul 2026, 9:13 AM
Pelan mitigasi banjir PJ akan dilaksana segera, libat 39 projek bernilai RM40.56 juta
Pelan mitigasi banjir PJ akan dilaksana segera, libat 39 projek bernilai RM40.56 juta

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan Negeri menyediakan Pelan Mitigasi Banjir Langkah Segera dan Langkah Sederhana di Petaling Jaya yang melibatkan pelaksanaan 39 skop kerja dengan kos keseluruhan RM40.56 juta.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata pelan yang akan segera dilaksanakan itu dijangka dapat mengurangkan risiko banjir, selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta daya tahan kawasan terlibat dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Beliau berkata sebanyak 12 kawasan tumpuan (hotspot) di Petaling Jaya dikenal pasti, termasuk tiga kawasan kritikal iaitu Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan Jalan Kuala Selangor (FT54).

"Skop kerja meliputi kerja menaik taraf dan meningkatkan kapasiti sungai, pembinaan struktur outlet, penyelenggaraan sistem saliran, pembinaan kolam takungan banjir serta pemasangan sistem amaran banjir.

"Pelan ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi teknikal bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon.

Izham berkata pelan mitigasi itu dirangka susulan lawatan kerja dan tinjauan yang dilaksanakan pada Mei lalu bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu banjir kilat di Petaling Jaya.

Beliau berkata, susulan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam turut bersetuju melaksanakan lantikan terus bagi projek langkah segera bagi memastikan semua projek dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

"Di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, kebanyakan penyelesaian banjir sudah selesai. Malah di Meru juga kejadian banjir semakin berkurangan. Apa yang kita rancang telah dilaksanakan dan alhamdulillah berjaya," katanya.

Minggu lalu, hujan lebat berserta angin kencang menyebabkan sekurang-kurangnya lapan lokasi di sekitar Petaling Jaya dilanda banjir kilat, selain satu kejadian pokok tumbang.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah Jalan 222; Jalan 1A/71G (Jalan Carey) dan Jalan 14/1 berhampiran Terowong FAS Kelana Jaya; Kampung Cempaka; Medan Selera 223; Jalan Seroja, Kampung Sungai Kayu Ara; serta Lorong 16/7A, Seksyen 16.

Kejadian itu merupakan banjir kilat ketiga melanda Petaling Jaya tahun ini selepas insiden sama berlaku pada April dan Mei lalu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.