SHAH ALAM, 26 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempergiat usaha mitigasi dan penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi menangani isu banjir kilat di Jalan 223 serta kawasan sepanjang Sungai Penchala.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata antara langkah yang dilaksanakan termasuk pembersihan halangan di laluan air, penambahbaikan aliran sementara serta pemantauan berterusan di kawasan kritikal.
Jelas beliau, pemantauan dilakukan terutama ketika hujan lebat bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan paras air.
“Pemantauan berterusan penting supaya tindakan pantas dapat dilaksanakan sekiranya paras air meningkat,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bersama ahli majlis MBPJ, semalam.
Beliau berkata, MBPJ turut menggunakan sistem pintar pengesan paras air bersama kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berisiko bagi memantau keadaan sungai secara masa nyata.
Katanya, sistem itu membolehkan kenaikan paras air dikesan lebih awal sebelum siren amaran diaktifkan sebagai peringatan kepada peniaga dan orang awam supaya mengambil langkah keselamatan segera.
Dalam masa sama, Mohamad Zahri berkata MBPJ turut bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi mempercepat pelaksanaan penambahbaikan sistem saliran di kawasan terlibat.
“JPS telah mengarahkan pihak pemaju supaya mengangkat jambatan besi sementara serta membetulkan ketinggian lantai dan kedudukan struktur jambatan bagi mengelakkan aliran air sungai memasuki semula sistem perparitan MBPJ,” katanya.
Menurut beliau, hasil pemantauan bersama JPS mendapati kapasiti Sungai Penchala ketika ini tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah air akibat hujan lebat luar jangka.
Susulan itu, JPS sedang merangka pembinaan benteng banjir (floodwall) pada ketinggian bersesuaian, manakala MBPJ pula merancang pembinaan Sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) di tujuh outlet Parit Hujan Lebat (PHL) dalam kawasan pentadbirannya yang mengalir ke sungai.
MBPJ turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama ketika hujan lebat dan tidak meredah kawasan dinaiki air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Orang awam diminta segera melaporkan sebarang kejadian banjir kepada pihak berkuasa supaya tindakan pantas dapat diambil,” katanya.








