SHAH ALAM, 7 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan melaksanakan kerja pengorekan Sungai Pelempas dalam masa terdekat bagi meningkatkan kapasiti saliran sekali gus mengurangkan risiko banjir di Kampung Melayu Subang.
Menurut jabatan itu, langkah segera atau ‘quickwin’ berkenaan antara usaha mitigasi jangka pendek sementara menunggu pelaksanaan projek Sungai Pelempas yang dijadual bermula tahun hadapan.
JPS memaklumkan pihaknya turut menyediakan pam berkapasiti lebih besar di Jalan Resak daripada 140 liter sesaat (l/s) kepada 280 l/s manakala pam di Jalan Ikhlas berkapasiti 280 l/s.
“Kita sudah memasang pintu kawalan aliran air (flapgate) saliran keluar ke sungai dari parit atau longkang dalaman dalam lot hak milik yang berpotensi menyebabkan aliran 'backflow' sungai ke dalam saliran dalaman.
“Malah, kita juga sudah mengenalpasti lokasi pelaksanaan kerja segera bagi pembinaan tembok penahan banjir (floodwall) di lokasi yang limpahan sungai (Sungai Pelumut) serta kawasan yang berpotensi dijadikan kolam dan pelebaran sungai di Sungai Pelempas.
"JPS melalui Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damansara akan melaksanakan kerja pelebaran dan mendalamkan Sungai Damansara (downstream) dan membuang struktur halangan di dalam Sungai Damansara," lapor Harian Metro.
Terdahulu, menerusi kenyataan sama, JPS Selangor memakumkan telah menambah dan menggunakan pam baharu di Jalan Resak dan Desa Subang Perantau, Kampung Melayu Subang bagi mengurangkan masalah banjir di kedua-dua kawasan terbabit sementara menunggu projek Sungai Pelempas dilaksana tahun hadapan.
Jelas jabatan itu, penggantian pam sedia ada dengan pam baharu berkapasiti lebih besar di Jalan Resak, manakala pam asal dipindahkan ke Desa Subang Perantau sekali gus menjadikan kawasan berkenaan mempunyai dua pam untuk membantu mengeluarkan air ke Sungai Pelempas.
Katanya, langkah tersebut sebagai mitigasi jangka pendek bagi mengeluarkan air saliran dalaman serta limpahan sungai sekiranya ia berlaku.
"Hasil penilaian susulan banjir pada 2 dan 4 November lalu dengan taburan hujan melebihi 100 milimeter (mm) mendapati keperluan pam berkapasiti lebih besar diperlukan di Jalan Resak.
“Ia terutama kerana saliran dalaman akan bertumpu ke kolam di Jalan Resak sebelum boleh disalurkan ke Sungai Pelempas. Susulan itu kami menukar pam di Jalan Resak kepada (pam baharu berkapasiti) 280 l/s.
"Kedudukan Desa Subang Perantau (Jalan Ikhlas) yang berada di kawasan downstream (hiliran) memerlukan lebih pam berkapasiti lebih tinggi kerana risiko limpahan 'back water' dari Jambatan Kampung Baru Subang lebih tinggi di kawasan berkenaan," katanya.
Tambah JPS Selangor, faktor utama yang menyebabkan air banjir lambat surut di dua kawasan berkenaan ialah taburan hujan yang sangat lebat iaitu melebihi 60mm dengan masing-masing merekodkan 116.5mm pada 2 November lalu dan 91.5mm pada 4 November lalu.
"Paras Sungai Pelempas yang masih tinggi menyukarkan air dari saliran dalaman disalirkan ke dalam sungai, justeru kami menyediakan pam bagi membantu perkara itu. Selain itu kawasan yang terkesan berada di low-laying area (kawasan tanah rendah), sistem saliran dalaman terhad dan tidak sistematik," katanya.
Sebelum ini, JPS Selangor menggandakan kapasiti pam air di Jalan Resak dan Desa Subang Perantau bagi mempercepat pengaliran air bertakung susulan banjir di Kampung Melayu Subang.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim, pam baharu berkapasiti dua kali ganda dipasang di Jalan Resak manakala pam lama dipindahkan ke Desa Subang Perantau.
Menurutnya, penambahan berkenaan menjadikan Desa Subang Perantau mempunyai dua pam air berbanding satu sebelum ini, sekali gus meningkatkan keupayaan mengepam air di kawasan tersebut.








