Selangor perkenal penarafan baharu kemiskinan bandar menjelang Jun 2027

12 Nov 2026, 1:00 AM
Selangor perkenal penarafan baharu kemiskinan bandar menjelang Jun 2027

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Selangor akan memperkenalkan satu penarafan baharu berkaitan kadar kehidupan dengan memberi tumpuan kepada isu kemiskinan bandar, dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pengelasan berdasarkan tangga gaji.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan baharu itu bertujuan menilai tahap kehidupan rakyat dengan lebih menyeluruh, khususnya dalam mengenal pasti golongan yang berdepan tekanan kos sara hidup di kawasan bandar.

Menurutnya, penarafan berkenaan dijangka dibentangkan sekitar Jun tahun depan sebagai asas kepada perancangan dasar serta penyediaan bantuan yang lebih bersasar mengikut keperluan rakyat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika temuramah khas Belanjawan Selangor 2027 di Kediaman Rasmi Dato Menteri Besar, Shah Alam pada 5 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Pada 2027 sebagaimana janji kita sebelum ini, kita akan sediakan satu penarafan baharu kadar kehidupan yang wajar. Kalau dulu kadar itu ditentukan dengan kadar kemiskinan.

“Kita boleh ubah dan memberikan fokus kepada kemiskinan bandar untuk kita tangani, dan bukan lagi terletak kepada satu tangga gaji tertentu.

“Kita perlu sesuaikan mengikut lokaliti kawasan yang sesuai untuk menilai kebolehan mereka atau pun keperluan mereka untuk dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi wawancara khas bersama Media Selangor sempena pembentangan Belanjawan Selangor 2027 yang diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Amirudin menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan golongan berpendapatan sederhana (M40) dalam pelaksanaan dasar dan pemberian bantuan kepada rakyat.

Jelasnya, bantuan kepada kumpulan berkenaan lazimnya dilaksanakan menerusi pendekatan lebih menyeluruh, termasuk peningkatan peruntukan pendidikan, Jualan Ehsan Rakyat (JER), skim Rumah Selangorku serta Skim Air Darul Ehsan (SADE).

Menurutnya, inisiatif berkenaan membolehkan golongan M40 turut menikmati manfaat daripada pelbagai kemudahan dan program yang disediakan Kerajaan Negeri, meskipun tidak semuanya berbentuk bantuan tunai secara langsung.

“Kalau kelompok M40 ingin dilayan sama seperti golongan B40, ini agak sukar kerana mungkin nilai RM100 atau RM200 itu kurang bermakna kepada mereka. Kalau mereka rasa itu juga sangat bermakna, kita perlu semak balik garis kemiskinan.

“Kalau ikut logiknya, memang semua kita mahu bantu tetapi lebih baik kita tumpu kepada kelompok rentan iaitu seperti anak kecil, warga emas, orang kelainan upaya dan kepada mereka yang ingin sokongan sokongan tambahan,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika temuramah khas Belanjawan Selangor 2027 di Kediaman Rasmi Dato Menteri Besar, Shah Alam pada 5 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengulas mengenai Skim Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), beliau berkata Kerajaan Negeri akan menilai semula pelaksanaan skim berkenaan bagi memastikan bantuan yang disediakan kekal relevan dengan keperluan semasa rakyat.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan ketika ini adalah memperkenalkan skim bantuan baharu yang bersesuaian dengan perubahan keperluan dan cabaran kehidupan masyarakat.

“Saya rasa, selepas berapa tahun, BINGKAS perlu diberikan kajian analitik yang terperinci berkenaan dengan adakah BINGKAS berjaya mengeluarkan penerima daripada lingkaran garis kemiskinan itu.

“Saya rasa, kita juga perlu tambah skim (bantuan) baharu mengikut kepada kesesuaian. Skim baharu itu perlu tengok mereka yang telah terjerumus dalam ekosistem yang menakutkan ataupun ekosistem kemiskinan yang telah menyebabkan mereka tertinggal,” katanya.

Pada Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperluas pendekatan bantuan sara hidup menerusi beberapa inisiatif termasuk BINGKAS Tambahan (BINGKASAN) dan BINGKAS PLUS, selain terus memberi perhatian kepada golongan rentan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.