SHAH ALAM, 12 NOV: Kedudukan rizab kewangan Selangor yang kukuh membantu negeri itu menyerap tekanan kewangan, khususnya ketika berdepan krisis dan bencana besar seperti banjir.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkat kepentingan rizab itu terbukti ketika banjir besar melanda Selangor pada 2021 apabila Kerajaan Negeri membelanjakan sekurang-kurangnya RM163 juta untuk membantu mangsa terjejas.
“Rizab negeri meningkat daripada RM2.1 bilion pada 2018 kepada lebih RM3 bilion pada 2021, sekali gus membolehkan peruntukan mencukupi disediakan bagi menangani keperluan kecemasan.
“Kalau kita tidak mempunyai rizab yang signifikan, kita sebenarnya sukar untuk berbelanja dengan sedemikian baik. Sebab itu rizab masih lagi penting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi wawancara khas bersama Media Selangor sempena pembentangan Belanjawan Selangor 2027 yang diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kutipan hasil negeri setakat 3 November lalu telah melepasi sasaran RM2.8 bilion yang ditetapkan bagi tahun ini.
Jelasnya, Kerajaan Negeri berjaya mengutip sebanyak RM2.82 bilion setakat tarikh berkenaan dan menjangkakan jumlah itu terus meningkat apabila tahun kewangan berakhir pada Disember ini.
“Pencapaian itu mencerminkan prestasi kutipan hasil negeri yang positif sekali gus memberi ruang kepada Selangor untuk terus memperkukuh kedudukan kewangan serta memastikan keupayaan melaksanakan pelbagai agenda pembangunan rakyat.
“Setakat 3 November lalu, kita sudah melepasi sasaran kutipan hasil kita dan kita jangka akan mendapat hasil yang lebih tinggi pada Disember nanti,” katanya.
Sebelum ini, ketika membentang Belanjawan 2026 Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.8 bilion.
Katanya, antara penyumbang utama kepada hasil negeri adalah Premium Tanah iaitu RM1.02 bilion bersamaan 36.3 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.







