Cuaca ekstrem cetus kebimbangan, rakyat mahu pendidikan iklim diperluas

11 Nov 2026, 1:00 AM
Cuaca ekstrem cetus kebimbangan, rakyat mahu pendidikan iklim diperluas

SHAH ALAM, 11 NOV: Kesedaran masyarakat terhadap perubahan iklim perlu dipertingkatkan susulan keadaan cuaca yang semakin tidak menentu, selain pendidikan mengenai fenomena itu wajar diperluas kepada semua lapisan masyarakat.

Tinjauan Media Selangor mendapati orang ramai menyedari perubahan corak cuaca berbanding dahulu, termasuk keadaan cuaca ekstrem yang semakin sukar diramal serta kepentingan memahami faktor yang menyumbang kepada fenomena berkenaan.

Bagi S. Marakatham Perumal, 58, berkata perubahan cuaca kini semakin ketara berbanding dahulu apabila keadaan yang sebelum ini mudah dijangka kini menjadi tidak menentu.

Marakatham Perumal Subaan ditemu duga semasa Voxpop Kesedaran Perubahan Iklim dan Banjir di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 11 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Dahulu kita boleh menjangkakan keadaan cuaca, tetapi sekarang cuaca semakin sukar diramal. Saya rasa antara puncanya ialah pembangunan yang terlalu pesat serta penebangan hutan,” katanya.

Perumal berpendapat pendidikan mengenai perubahan iklim penting bagi membantu masyarakat memahami keadaan cuaca dan tidak hanya bergantung kepada aplikasi, selain meningkatkan kesedaran menjaga alam sekitar bagi mengurangkan risiko banjir kilat akibat saliran tersumbat.

Katanya, masyarakat perlu memainkan peranan menjaga kebersihan persekitaran dan tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dalam menangani masalah sampah.

Dalam pada itu Nurmaizafitra Jasman, 38, berkata perubahan cuaca yang berlaku setiap tahun sudah menjadi kebiasaan, namun pengetahuan mengenai perubahan iklim perlu diterapkan kepada generasi akan datang serta turut menegaskan usaha menjaga kebersihan persekitaran memerlukan kerjasama semua pihak.

Nurmaizafitra Jasman ditemu duga semasa Voxpop Kesedaran Perubahan Iklim dan Banjir di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 11 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Pendidikan mengenai perubahan iklim perlu diadakan juga supaya generasi akan datang mempunyai pengetahuan dan lebih memahami isu ini.

Masyarakat tidak wajar meletakkan 100 peratus kesalahan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka sendiri tidak mengambil inisiatif untuk menjaga kebersihan,” katanya.

Sementara itu, Adam Danial Mohd Yusoff, 21, berpandangan keadaan cuaca kini semakin ekstrem, malah musim tengkujuh pada tahun ini dirasakan berlaku lebih awal berbanding kebiasaannya.

Beliau berkata kerajaan boleh memanfaatkan media sosial sebagai platform menyampaikan pendidikan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perubahan iklim.

Adam Daniel Mohd Yusoff ditemu duga semasa Voxpop Kesedaran Perubahan Iklim dan Banjir di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 11 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Kerajaan boleh buat video kesedaran di media sosial, kerana sekarang semua orang menggunakan media sosial,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap krisis perubahan iklim dan memperkukuh pembangunan ilmu akan menjadi antara agenda utama Kerajaan Negeri dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Menurutnya, kedua-dua aspek itu perlu diberi perhatian seiring usaha memperkukuh ekonomi negeri bagi menghadapi cabaran perubahan iklim dan perkembangan teknologi.

Beliau menegaskan perubahan iklim perlu dilihat sebagai krisis yang menuntut perhatian serius, khususnya dalam perancangan dasar, pembangunan infrastruktur dan kehidupan masyarakat.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mahu memperluas wacana mengenai perubahan iklim bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap kesannya serta langkah yang perlu diambil untuk mendepani cabaran berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.