Deepavali: Selangor diramal ribut petir, Klang berdepan air pasang besar

6 Nov 2026, 3:57 AM
Deepavali: Selangor diramal ribut petir, Klang berdepan air pasang besar

SHAH ALAM, 6 NOV: Sambutan Deepavali pada Ahad ini dijangka disertai ribut petir di beberapa kawasan Selangor pada sebelah petang, manakala hujan diramal berlaku di beberapa tempat pada waktu malam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca pada sebelah pagi dijangka baik tanpa hujan, sebelum ribut petir melanda beberapa kawasan pada sebelah petang.

Berdasarkan ramalan cuaca khas sempena Deepavali yang dikemas kini pada 5 November, kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia turut dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang.

Antaranya Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pada sebelah malam, hujan diramal berlaku di beberapa kawasan di kebanyakan negeri berkenaan, manakala Perlis dijangka tidak menerima hujan.

Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan fenomena air pasang besar turut dijangka berlaku pada Ahad ini.

Berdasarkan ramalan di Stesen Pelabuhan Klang, paras air laut dijangka mencecah 5.2 meter pada jam 5.02 pagi, iaitu dalam kategori amaran.

Pada sebelah petang hari sama, paras air diramal mencapai 4.0 meter sekitar jam 5.30 petang.

Mengikut petunjuk paras air Pelabuhan Klang, bacaan antara 5.0 hingga 5.3 meter dikategorikan sebagai paras amaran, manakala 5.4 hingga 5.5 meter merupakan paras bahaya.

Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 bermula pada 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan hingga Mac tahun depan, dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku antara November hingga Januari 2027.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.