SHAH ALAM, 9 NOV: Seluruh Selangor diramal mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca sama melanda Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan.
Menurut MetMalaysia di Facebook, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berlaku dalam tempoh lebih sejam.
Amaran berkenaan merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi laman sesawang www.met.gov.my, media sosial rasmi MetMalaysia atau aplikasi myCuaca.







