SHAH ALAM, 9 JUN: Tropicana Metropark menyalurkan sumbangan wakaf berjumlah RM5 juta kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bagi membantu pembangunan Masjid Batu Tiga, Taman Batu Tiga, di sini.
Menurut PWS sumbangan itu mencerminkan komitmen sektor korporat dalam menyokong pembangunan institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
"Dana yang disalurkan melalui PWS akan membantu mempercepat usaha pembangunan Masjid Batu Tiga demi manfaat masyarakat Islam setempat.
“PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Tropicana Metropark atas kepercayaan serta sokongan yang diberi dalam menjayakan agenda pembangunan wakaf dan institusi agama di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung pada Jumaat lalu dan disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Masjid Batu Tiga serta wakil daripada Tropicana Corporation Berhad.
“Semoga sumbangan ini menjadi amal jariah yang berpanjangan dan terus memberi manfaat kepada umat Islam untuk generasi masa kini serta akan datang,” katanya.







