SHAH ALAM, 27 OGOS: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyumbang wakaf berjumlah RM362,321.66 kepada institusi agama, pendidikan dan keselamatan di Selangor bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada masyarakat.
Agensi itu memaklumkan jumlah itu merangkumi RM250,000 sumbangan Wakaf Khas kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi pembangunan Surau Al-Ihsan di kawasan berkenaan.
Selain itu, RM25,000 sumbangan wakaf fisabilillah disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar, Kajang bagi pemasangan jubin di dewan sekolah serta RM87,321.66 kepada tiga institusi agama di Banting, Sepang dan Shah Alam bagi naik taraf infrastruktur.
“Agihan itu mencerminkan komitmen PWS memperluas manfaat wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah, bukan sahaja bagi keperluan institusi agama, malah meliputi sektor pendidikan dan kemudahan ibadah warga pasukan keselamatan dan komuniti setempat.
“PWS kekal komited memperkasa wakaf melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi dan komuniti, selaras dengan aspirasi memastikan manfaat wakaf terus mengalir kepada masyarakat dan generasi akan datang,” katanya di Facebook.
Jelas PWS, sumbangan kepada Surau An-Nur, Bandar Mahkota Banting dan Musolla Alanis Residence, Kota Warisan, Sepang masing-masing menerima RM30,000 bagi tujuan menaik taraf ruang solat dan musolla.
“Manakala, Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18, Shah Alam menerima RM27,321.66 daripada agihan tabung wakaf bagi menaik taraf empat pintu utama dewan solat,” katanya.
PWS turut mengadakan pengisian dan taklimat berkaitan wakaf kepada warga institusi terlibat serta membuka kaunter wakaf bagi memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat dan melaksanakan wakaf tunai.
PWS kekal komited memperkasa wakaf melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi dan komuniti, selaras dengan aspirasi memastikan manfaat wakaf terus mengalir kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Orang ramai dialu-alukan menyumbang wakaf tunai melalui saluran rasmi PWS menerusi Wakaf Selangor Online dan aplikasi Wakaf Selangor.









