SHAH ALAM, 10 NOV: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyiasat dakwaan wujud unsur pemujaan dalam persembahan konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd, di Bukit Jalil pada 4 dan 5 Nov lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menerusi Bahagian Penyelidikan JAKIM sedang berhubung dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan.
Beliau berkata, penelitian turut dilakukan bagi memastikan persembahan konsert itu mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan kepada artis luar negara.
Jelasnya lagi, Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah SWT dan semua pihak perlu memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak serta sensitiviti agama di Malaysia.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya, serta ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, semalam.
Beliau turut menegaskan aspek pematuhan terhadap garis panduan persembahan perlu diberi perhatian bagi memastikan aktiviti hiburan tidak bercanggah dengan nilai agama dan norma masyarakat tempatan.
Dakwaan itu muncul selepas beberapa hantaran pengguna media sosial memaparkan elemen persembahan di dalam konsert itu yang kemudiaan didakwa sebagai ritual pemujaan.






