Elak langgar SOP, rumah sembelihan disaran lantik tiga pegawai halal tetap

3 Nov 2026, 3:00 AM
Elak langgar SOP, rumah sembelihan disaran lantik tiga pegawai halal tetap
Elak langgar SOP, rumah sembelihan disaran lantik tiga pegawai halal tetap

SHAH ALAM, 3 NOV: Setiap rumah penyembelihan disaran mempunyai sekurang-kurangnya tiga pegawai halal tetap dalam kalangan graduan pengajian Islam bagi memastikan pematuhan hukum syarak terus dipantau selepas memperoleh sijil halal.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato' Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata langkah itu penting bagi mengelakkan kecuaian dan pelanggaran prosedur penyembelihan.

Menurutnya, terdapat pengendali rumah penyembelihan yang didakwa hanya menggaji pekerja berkelayakan dalam bidang pengajian Islam secara kontrak ketika memohon sijil halal, sebelum menamatkan perkhidmatan mereka selepas memperoleh pensijilan.

"Saya menyarankan agar satu syarat wajib mengambil pekerja daripada pelajar-pelajar graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam bidang pengajian Islam seramai tiga orang minimum bertaraf tetap.

"... dan merekalah yang pantau apa yang berlaku dalam syarikat tersebut. Pihak berkuasa tak boleh nak pantau A to Z," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato' Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Mohd Izhar berkata ketidakpatuhan prosedur penyembelihan tidak semestinya berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan, sebaliknya boleh berlaku akibat kecuaian pengendali selepas memperoleh sijil halal.

"Cuma, kelalaian itu dibuat oleh pihak syarikat.

"Mereka ini dah dapat sijil halal, tapi mereka tak ikut arahan sijil halal itu setelah mereka mendapat sijil halal," ujarnya.

Beliau menjelaskan pelantikan tiga pegawai tetap membolehkan pemantauan diteruskan sekiranya berlaku pertukaran pekerja atau kekosongan jawatan, termasuk mengelakkan percampuran ayam yang mati sebelum disembelih dengan ayam yang disembelih mengikut hukum syarak.

Mengulas risiko pencemaran dalam proses penyembelihan, Mohd Izhar berkata kegagalan mengasingkan ayam yang mati sebelum disembelih daripada ayam yang disembelih dengan sempurna boleh menimbulkan keraguan terhadap status halal keseluruhan kelompok sembelihan.

Peniaga ayam sedang menyiapkan tempahan pelanggan ketika tinjauan program jualan ayam murah di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

"Sebab kalau ada lima ekor yang bangkai... mati bangkai, bercampur dengan 1,000 ekor ayam yang disembelih dengan betul, maka 1,000 ayam itu akan jadi najis juga.

"Sebab dah bercampur dan tidak dikenal pasti yang mana satu yang mati bangkai, yang mana satu yang tak mati bangkai," jelasnya.

Bagaimanapun, Mohd Izhar menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau takut membeli ayam susulan isu pematuhan halal di rumah penyembelihan, sebaliknya memilih produk daripada sumber yang mempunyai sijil halal sah.

"Kita jangan takut untuk makan ayam yang sedia ada, cuma tanggungjawab kita, pertama, beli ayam yang ada sijil halal.

"Kalau kata berlaku juga di sebalik sijil halal tu ada orang yang menipu, kita dah tak berdosa," katanya.

Beliau turut menggalakkan pengguna memilih restoran yang mempunyai sijil halal serta menyemak status pensijilan melalui portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau jabatan agama Islam negeri menggunakan nama syarikat atau nombor rujukan sijil.

Katanya, orang ramai juga perlu melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan pemeriksaan berkala dan serbuan mengejut dilaksanakan.

Terdahulu, lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 dirampas dalam serbuan Ops Taring Chiller di sebuah gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam di Puchong, Jumaat lalu.

Ayam berkenaan disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan pensijilan halal, manakala premis terbabit turut didapati menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik sebelum penyembelihan.

Kira-kira 6.5 tan ayam mentah dirampas dalam serbuan di sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam di Puchong kerana disyaki tidak mematuhi hukum syarak serta keperluan pensijilan halal. Foto Facebook netizen

Seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.

Dalam kes berasingan, rakaman penstriman langsung di TikTok yang tular bulan lalu memaparkan dakwaan seorang pembekal ayam di Kuala Lumpur mencampakkan ayam hidup ke dalam air panas tanpa disembelih terlebih dahulu.

Susulan itu, JAKIM sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sebuah syarikat yang dikaitkan dengan isu berkenaan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pemeriksaan mendapati premis terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.