Sijil halal rumah sembelih boleh ditarik balik jika ingkar piawaian

7 Nov 2026, 2:43 AM
Sijil halal rumah sembelih boleh ditarik balik jika ingkar piawaian

SHAH ALAM, 7 NOV: Rumah sembelih yang gagal mematuhi piawaian halal berdepan tindakan tegas termasuk penggantungan atau penarikan balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata tindakan itu bergantung kepada kategori ketidakakuran yang dikenal pasti menerusi pemeriksaan berkala, lapor Utusan Malaysia.

Menurut Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, sebanyak 218 rumah sembelih di seluruh negara memiliki SPHM setakat 2 November, dengan pemantauan dijalankan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Beliau menegaskan pemeriksaan dilaksanakan tanpa notis awal, merangkumi semakan dokumen, temu bual petugas serta pengambilan gambar dan sampel sebagai bahan bukti.

“Jika ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan pensijilan boleh diambil termasuk pengeluaran notis ketidakakuran, penggantungan atau penarikan balik SPHM mengikut kategori ketidakakuran dan prosedur yang ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas dalam serbuan di Puchong, yang disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan dan pemprosesan yang diragui sijil halalnya.

Keraguan itu timbul selepas serbuan dilakukan pihak berkuasa yang mendapati pre­mis tersebut menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik melebihi had ditetapkan pihak berwajib.

Mengulas bidang kuasa Jakim, Sirajuddin berkata pemantauan dan penguatkuasaan turut merangkumi premis yang tidak mempunyai sijil sah, namun berlaku penyalahgunaan logo atau representasi halal.

Katanya, tindakan boleh diambil berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

“Jika sesebuah premis menggunakan logo halal tanpa perakuan yang sah atau membuat representasi halal yang menyalahi peruntukan tersebut, tindakan boleh diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti, walaupun premis itu bukan pemegang SPHM.

“Penguatkuasaan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pegawai Jakim atau pihak berkuasa agama negeri yang diberi kuasa, mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat atau membuat aduan jika mengesyaki berlaku penyelewengan halal, termasuk penyalahgunaan logo atau perihal yang mengelirukan pengguna.

Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam di https://islam.spab.gov.my/ dengan mengemukakan maklumat lengkap seperti nama dan alamat premis, gambar atau rakaman bagi siasatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.