KUALA LUMPUR, 2 NOV: Premis penyembelihan ayam yang disyaki beroperasi tanpa permit dan kelulusan pihak berkuasa tempatan tidak berada dalam rekod pemantauan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pemeriksaan awal mendapati premis itu turut menjalankan aktiviti pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa kelulusan berkaitan.
“JAKIM memandang serius isu ini kerana melibatkan pematuhan hukum syarak, kebersihan serta keyakinan masyarakat terhadap status halal bekalan ayam di pasaran.
“Segala rekod operasi dan jualan oleh premis ini tidak berada dalam rekod pemantauan pensijilan halal JAKIM dan juga Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kuasa pensijilan halal di Malaysia diperuntukkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 menerusi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Selain itu, skim rumah sembelihan turut diperkenalkan bagi membolehkan pengusaha memohon SPHM sekali gus memastikan operasi penyembelihan dan pengendalian haiwan sembelihan memenuhi hukum syarak serta keperluan pensijilan halal.
Zulkifli berkata JAKIM bersama dengan jabatan agama dan majlis agama Islam negeri melaksanakan kawalan menerusi pensijilan halal, pengauditan serta pemantauan terhadap premis penyembelihan yang memiliki SPHM.
Beliau berkata penilaian yang dijalankan merangkumi sumber haiwan, kelayakan penyembelih dan penyelia halal, kaedah pelalian, proses penyembelihan, kebersihan, pengendalian produk serta sistem pengurusan halal.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata memandangkan pensijilan halal Malaysia bersifat sukarela, kawal selia premis penyembelihan memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi penguatkuasaan lain mengikut bidang kuasa masing-masing.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata JAKIM terus memperkukuh pemeriksaan bersepadu, perkongsian maklumat dan siasatan terhadap aduan bagi melindungi kepentingan pengguna serta integriti bekalan ayam halal.
Bagi produk atau premis yang disyaki menggunakan logo atau pernyataan halal mengelirukan, JAKIM bekerjasama dengan KPDN dan agensi berkaitan untuk menjalankan semakan serta siasatan.
“Bagi keperluan menempatkan penyelia halal di rumah sembelih, hal itu menjadi syarat keperluan bagi mana-mana rumah sembelihan yang ingin memohon sijil pengesahan halal Malaysia,” katanya.
Zulkifli berkata JAKIM telah mengambil tindakan terhadap beberapa kes sebelum ini termasuk mengenakan kompaun berjumlah RM40,000 terhadap tiga syarikat kerana gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Pada 30 Oktober, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal, dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, Selangor.
Ops Taring Chiller itu juga menahan 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis tersebut.






