Kilang proses 40,000 ayam sehari disyaki guna arus elektrik lebih had

1 Nov 2026, 5:49 AM
Kilang proses 40,000 ayam sehari disyaki guna arus elektrik lebih had

PUCHONG, 1 NOV: Kilang di Kampung Sri Aman Hilir, di sini, yang diserbu Jumaat lepas dipercayai menggunakan bekalan elektrik dengan kadar voltan jauh lebih daripada had ditetapkan ketika menjalankan operasi pemprosesan, selain berupaya memproses lebih 40,000 ayam sehari.

Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Muhammad Abdul Halim berkata siasatan awal mendapati, bekalan ayam hidup diperoleh dari Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang, sebelum diproses di kilang berkenaan.

Beliau berkata ayam yang diproses itu kemudian dipercayai diedarkan kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan premis perniagaan di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana dan Putrajaya.

“Berdasarkan kapasiti mesin, premis berkenaan boleh memproses lebih 40,000 ekor ayam sehari. Namun, jumlah sebenar yang diproses masih dalam siasatan.

“Kita juga sedang mengenal pasti keseluruhan rangkaian bekalan dan pengedaran termasuk premis yang menerima bekalan ayam daripada kilang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kilang itu di sini hari ini.

Mengulas kaedah Waterbath Stunning yang digunakan di kilang berkenaan, Muhammad berkata siasatan mendapati premis itu dipercayai menggunakan voltan elektrik melebihi had ditetapkan, sehingga menyebabkan ayam mati sebelum proses penyembelihan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati penggunaan voltan 60 volt pada pintu pertama di bahagian hadapan dan 130 volt pada pintu kedua di bahagian tengah, sedangkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan penggunaan voltan bagi kaedah itu di bawah 10 volt.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana, kaedah penyembelihan antara elemen utama yang menentukan status halal sesuatu produk ayam,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan teguran dan peringatan, supaya kilang yang beroperasi lebih 10 tahun itu mematuhi prosedur ditetapkan, namun premis berkenaan masih gagal berbuat demikian.

Dalam serbuan pada 12.40 tengah malam Jumaat lepas, polis turut menahan 12 lelaki warga Bangladesh yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan mereka kini direman selama 14 hari bermula semalam hingga 13 Nov ini.

Pemilik premis, seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an, turut dirakam percakapan dan tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan, termasuk peranan serta penglibatannya dalam operasi kilang berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan notis bagi menahan peralatan operasi di premis berkenaan, manakala ayam yang dirampas ditempatkan sementara di JAIS, Shah Alam sementara menunggu tindakan pelupusan.

Media sebelum ini melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah bernilai RM85,400 dirampas dalam operasi bersepadu itu, kerana disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan pensijilan halal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.