JPS Selangor gerakkan 150 pam, giat usaha kurangkan risiko banjir

9 Nov 2026, 9:50 AM
JPS Selangor gerakkan 150 pam, giat usaha kurangkan risiko banjir

SHAH ALAM, 9 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor terus mempergiat usaha mengurangkan risiko banjir menerusi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), kerja pengorekan sungai dan penambahbaikan sistem saliran di kawasan berisiko.

JPS Selangor berkata antara usaha tersebut ialah pemantauan operasi pam di sepanjang Sungai Langat, khususnya di kawasan RTB Bukit Changgang bagi memastikan paras air dalam sistem saliran dalaman dapat diturunkan secara berperingkat.

"JPS Daerah Kuala Langat turut mengoperasikan pam bergerak berkapasiti 20 cusec dan pam skru di RTB Bukit Changgang bagi mempercepat pelepasan air serta mengawal paras sungai," katanya.

JPS Selangor berkata kerja pengorekan sungai di RTB Sungai Damansara juga dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti sungai dan mengurangkan risiko limpahan air.

"Usaha quickwin di Kampung Melayu Subang pula melibatkan kerja pengorekan Sungai Pelempas, peningkatan kapasiti pam di Jalan Resak daripada 140 kepada 280 liter sesaat serta pemasangan pintu kepak (flapgate), manakala pam di Jalan Ikhlas berkapasiti 280 liter sesaat.

"Selain itu, JPS Daerah Kuala Selangor pula mengambil tindakan menutup dua laluan air di bawah Lebuhraya LATAR bagi menghalang air dari Sungai Buloh memasuki kawasan perkampungan," katanya.

JPS Selangor memaklumkan sebanyak 150 unit pam bergerak kini direkodkan ditempatkan di seluruh Selangor, terdiri daripada 119 unit milik negeri dan 31 unit Persekutuan bagi memperkukuh kesiapsiagaan di lokasi berisiko setakat 6 November 2026.

"Daerah Klang mencatatkan jumlah penempatan tertinggi dengan 37 unit, diikuti Sabak Bernam sebanyak 24 unit, Kuala Langat (23), Kuala Selangor dan Petaling masing-masing 19 unit, Gombak (tujuh), Sepang (enam) serta Hulu Langat (satu).

"Selain pam yang ditempatkan di daerah, sebanyak 14 unit turut berada di Stor Bahagian Pengurusan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) Selangor, dengan empat unit dalam keadaan siap siaga dan 10 unit sedang diselenggara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pam hidraulik jenis tenggelam berkapasiti lima cusec atau 140 liter sesaat dipasang di Jalan Paip, Klang bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan perumahan.

"Pemasangan itu dilaksanakan Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) JPS Selangor bersama JPS Daerah Klang, manakala operasi dan pemantauan dikendalikan JPS Daerah Klang.

"JPS Daerah Kuala Selangor turut menempatkan pam bergerak tambahan di Pintu Air Merbau bagi mempercepat proses mengepam air banjir dari kawasan kampung ke Sungai Buloh," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.