SHAH ALAM, 4 NOV: Kejadian limpahan air laut di Kampung Sungai Janggut dan Kampung Tok Adam, Kuala Selangor berkurang daripada tujuh kali pada 2023 kepada sekali setakat tahun ini selepas projek kawalan hakisan dan pengukuhan benteng pantai siap dilaksanakan pada Mac lalu.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, rekod pemantauan menunjukkan tiga kejadian limpahan air laut masing-masing pada 2024 dan 2025, sebelum menurun kepada sekali setakat 4 November 2026.
Agensi itu memaklumkan projek yang bermula pada 21 Jun 2024 dan siap pada 3 Mac 2026 menelan kos keseluruhan RM4,837,379.50.
Di Kampung Sungai Janggut, kerja dilaksanakan melibatkan pembinaan benteng pantai sepanjang 2,100 meter dan struktur batu pelindung tebing sepanjang 750 meter.

Sementara itu, Kampung Tok Adam menerima pembinaan benteng pantai sepanjang 500 meter dan struktur batu pelindung tebing sepanjang 300 meter.
Menurut JPS Selangor, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan mengurangkan risiko hakisan akibat ombak dan arus laut, selain melindungi kawasan penempatan serta harta benda penduduk.
"Projek ini juga memperkukuhkan struktur benteng pantai bagi perlindungan jangka panjang dan meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti pesisir pantai.
"Malah, dapat mengurangkan risiko limpahan air laut ke kawasan daratan dan menyokong pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi setempat," katanya menerusi Facebook.
JPS Selangor turut menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha kawalan hakisan di kawasan pesisir pantai negeri ini.







