Persediaan banjir: JPS Selangor tempatkan 141 pam bergerak di lokasi berisiko

7 Nov 2026, 1:00 AM
Persediaan banjir: JPS Selangor tempatkan 141 pam bergerak di lokasi berisiko
Persediaan banjir: JPS Selangor tempatkan 141 pam bergerak di lokasi berisiko

SHAH ALAM, 7 NOV: Sebanyak 141 pam air bergerak ditempatkan di kawasan ‘panas’ banjir di seluruh Selangor bagi mempercepatkan aliran air keluar sekiranya berlaku bencana itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan, 53 pam air kekal turut beroperasi di seluruh negeri sebagai sebahagia langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

“Setiap pam bergerak berkeupayaan mengepam antara 300 hingga 1,000 liter air sesaat bagi mengurangkan takungan air ketika banjir.

"Pam bergerak yang sudah ditempatkan akan kekal berada di kawasan panas banjir supaya air dapat disalirkan dengan lebih cepat apabila berlaku banjir," kata agensi itu kepada Media Selangor.

Jelas agensi tersebut, tempoh menggerakkan pam air ke lokasi banjir dianggarkan antara tiga hingga lima jam, bergantung kepada jarak, keadaan tapak dan laluan masuk ke kawasan terjejas.

JPS menjelaskan, kebanyakan kawasan berisiko banjir sudah dilengkapi stesen pam air bagi membantu mengalirkan air keluar, manakala beberapa lokasi lain masih dalam pembinaan atau peringkat perancangan.

Bagi kawasan yang memerlukan bantuan tambahan, pam yang berada dalam keadaan siap siaga akan digerakkan untuk mengurangkan takungan air ketika banjir.

"JPS Selangor sentiasa membuat perolehan tambahan pam bergerak setiap tahun melalui Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh kesiapsiagaan, terutama menjelang Monsun Timur Laut.

"Kawasan berisiko banjir termasuk Shah Alam, Subang dan Klang akan diberi keutamaan dalam penempatan pam bagi mengurangkan kesan banjir," menurut jabatan itu.

Berdasarkan data tahun lalu, sebanyak 56 kawasan ‘panas’ banjir dan 232 kawasan berisiko dikenal pasti di seluruh Selangor.

Klang merekodkan jumlah kawasan panas banjir tertinggi dengan 13 lokasi, diikuti Petaling (11), Gombak (10) dan Hulu Langat (sembilan).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir menerusi portal rasmi Public InfoBanjir JPS Malaysia dan InfoBanjir JPS Selangor.

Selain itu, orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi myCuaca versi 3.0 keluaran Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) untuk mendapatkan ramalan cuaca serta amaran terkini berdasarkan lokasi masing-masing.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.