SHAH ALAM, 8 NOV: Seluruh Selangor dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 6 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan keadaan cuaca sama turut dijangka melanda Kuala Lumpur, Putrajaya, seluruh Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah juga dijangka mengalami cuaca buruk berkenaan.

Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berlaku dalam tempoh lebih sejam.
Amaran berkenaan merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi laman sesawang www.met.gov.my, media sosial rasmi MetMalaysia atau aplikasi myCuaca.







