SHAH ALAM, 29 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, menitahkan agar semua pihak yang diamanahkan kuasa dan tanggungjawab memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut memberi penekanan khusus kepada ahli politik di Selangor supaya menghentikan perbincangan politik berlebihan dan memfokuskan kerja-kerja pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
"Cukup-cukuplah bercakap pasal politik, fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak lama lagi akan berlangsungnya pilihanraya umum," titah baginda menerusi Titah Perutusan Sempena Tahun Baharu 2026.
Baginda menegaskan, segala tenaga dan fikiran perlu digembleng bagi membina pembangunan yang nyata supaya rakyat dapat hidup lebih selesa, kebajikan terpelihara serta dilindungi oleh sistem yang adil dan berkesan.
"Ingatlah, tiada yang mustahil jika niat itu tulus dan usaha itu bersungguh-sungguh. Segala perancangan dan tindakan hendaklah berteraskan satu matlamat utama iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri," titahnya.
Sultan Selangor juga menegaskan hasrat baginda untuk melihat isu banjir yang berlarutan sekian lama ditangani secara menyeluruh dengan sasaran jelas iaitu mencapai 'zero flood'.
Menurut baginda, usaha berkenaan menuntut penggunaan kepakaran terbaik, sama ada dari dalam mahupun luar negara, selain memanfaatkan ilmu, teknologi serta pengalaman.
"Jangan lagi berlindung di sebalik alasan, kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan," titah Baginda.
Baginda bertitah, meskipun bencana alam merupakan ketentuan Ilahi, namun masalah banjir diyakini boleh diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang serta pelaksanaan yang jujur dan berdisiplin.
Dalam perutusan sama, Sultan Selangor Bersama DYMM Tengku Permaisuri Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Sultan Sharafudin mengakhiri perutusan dengan harapan agar tahun baharu membawa sinar harapan, ketenangan hidup dan kesejahteraan yang berpanjangan serta kemakmuran yang lebih besar kepada seluruh rakyat Selangor.
"Jadikanlah tahun baharu ini sebagai titik azam untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih berakhlak dan lebih bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri," titah baginda.


