SHAH ALAM, 3 SEPT: Projek tebatan banjir di Taman Sri Muda perlu disegerakan bagi mengurangkan kebimbangan penduduk yang masih berdepan risiko banjir.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, S Preakas berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan penduduk ketika beliau mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk turut meminta laluan kecemasan sedia ada ditambah baik sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir.
"Penduduk meminta jalan keluar kecemasan sedia ada ditambah baik dan diperbaiki sebagai persediaan jika berlaku banjir kerana kita tahu Sri Muda sentiasa menjadi mangsa banjir.
"Kita juga memaklumkan kepada penduduk setempat mengenai jadual perancangan kerja-kerja mitigasi banjir yang sedang dan akan dijalankan," katanya kepada Media Selangor.
Dalam perkembangan sama, Preakas berkata beliau turut menerima aduan penduduk berhubung kutipan sampah yang didakwa tidak mengikut jadual.
Katanya, KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan operasi kutipan sampah ketika ini berdepan kekangan susulan kekurangan lori selain kerosakan jentera.
"Saya telah menghubungi KDEBWM dan perkara ini telah diambil maklum untuk diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Preakas turut menghargai komitmen KDEBWM dalam menangani isu berkenaan dan berharap masalah kutipan sampah dapat diselesaikan segera demi keselesaan penduduk.







